Rabu, Julai 13, 2011

PELABUR TERUS MINAT MELABUR


Pelabur dari Amerika Syarikat terus minat melabur di Malaysia walaupun Bersih cuba merosakkan nama negara Sabtu lalu. Ini menunjukkan apa yang dirancang oleh Bersih tidak berkesan sama sekali.

Pelabur itu dijangka membawa masuk wang yang besar ke Malaysia dan pihaknya sedang mengatur temujanji untuk menemui Perdana Menteri dalam masa yang terdekat. Langkah ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia tetap stabil untuk melabur di kaca mata dunia.

Perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu tidak menjejaskan persepsi terhadap ekonomi dan politik negara ini kerana Malaysia negara yang stabil, kata Ketua Strategi Pelaburan dan Ketua Pakar Ekonomi di AMP Capital Investors.

"Ia merupakan sebahagian daripada langkah demokrasi yang lebih luas yang kebanyakan negara lalui dalam pembangunan mereka.

"Ia tidak mungkin mengubah persepsi antarabangsa terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil," kata Dr Shane Oliver kepada Bernama di Singapura.

AMP Capital Investors merupakan pakar pengurus pelaburan dengan lebih A$99 bilion dalam dana yang diurus.

Ia adalah anak syarikat milik penuh AMP, satu daripada penyedia pencen korporat dan runcit terbesar Australia, dengan lebih 160 tahun pengalaman.

Dengan pejabat di Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Luxembourg, New Zealand, Singapura, United Kingdom, dan Amerika Syarikat, ia juga merupakan pengurus hartanah global utama dan satu daripada pengurus infrastruktur tertua.

Shane menyifatkan Malaysia sebagai negara yang menunjukkan prestasi yang baik berbanding dengan negara-negara Asia lain dan tidak diragukan lagi akan menjadi ekonomi berpendapatan tinggi sebagaimana yang dirancang, lapor Bernama.

"Malaysia pada kedudukan yang baik untuk mencapai aspirasiya untuk menjadi ekonomi pendapatan tinggi," beliau dipetik sebagai berkata.

Seorang lagi pakar ekonomi yang turut bersetuju dengan pendapat Oliver, berkata beliau optimistik perhimpunan berkenaan tidak akan mengganggu pertumbuhan ekonomi dan daya saing Malaysia dalam menarik pelabur asing.

"Sejak bertahun, kita telah melihat Malaysia merupakan negara yang stabil, dari segi politik atau ekonomi.

"Di bawah pentadbiran perdana menteri sekarang ini, Malaysia akan terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik," katanya.