Selasa, November 09, 2010
BUKAN SATU KEJUTAN
Apa yang dibuat oleh Datuk Zaid Ibrahim bukan satu kejutan. Dia dah biasa letak jawatan. Dahulu dia letak jawatan menteri. Kini dia letak jawatan dalam PKR pula. Jadi apa yang dilakukannya bukanlah satu kejutan.
Yang orang terkejut kerana dia tarik diri bertanding jawatan timbalan presiden PKR selepas pengiraan undi dibuat. Sepatutnya dia tarik diri sebelum pengundian. Sudah tentu ia mengecewakan para penyokongnya. Zaid ini tak ada kerja. Cuma mencari publisiti saja.
Tak pernah dibuat orang tarik diri selepas pengiraan undi sudah berlangsung. Nampak sangat dia tidak demokratik tidak dapat menerima kenyataan sedang dikalahkan oleh Azmin Ali dalam pengiraan undi bagi jawatan tersebut.
Soal ada penipuan dan penyelewengan dalam pengiraan undi adalah soal lain. Yang dibincangkan kenapa dia tarik diri sekarang? takdirnya dia sedang mendahului Azmin, adakah dia akan tarik diri?
Oleh itu nampak sangat Zaid ini tak betul orangnya. kalau dia betul takkan dia jual bangunan UMNO Kota Bharu kepada orang PAS. Zaid orang baru dalam PKR. Nampak sangat dia gelojoh nak jawatan penting. Patutnya dia tanding ahli majlis tertinggi PKR sahaja.
Baru sehari dua dalam PKR terus nak tanding nombor dua, siapa nak beri kepadanya. Apa jasanya kepada PKR sedangkan Azmin sudah lama dengan Anwar. Pengorbanan dan kesetiaan Azmin kepada Anwar tidak perlu dipertikai lagi. Apa jasa Zaid kepada Anwar? Lain kali nak tanding jawatan nombor dua, kena cermin diri dulu. Jangan gelojoh sangat. Bila kalah tarik diri. Ini semua kerja orang yang ada kepentingan diri dan bukannya mnementingkan parti.
Datuk Zaid Ibrahim semalam menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.
Beliau yang merupakan pencabar terkuat kepada Azmin Ali iaitu ‘anak emas’ Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan itu turut melepaskan semua jawatannya dalam PKR walaupun baru satu pertiga cabang parti itu mengadakan pemilihan.
Bagaimanapun, Zaid menegaskan beliau tidak akan meninggalkan pembangkang dan akan terus bercakap serta memperjuangkan isu rakyat bagi memastikan masyarakat mendapat kerajaan yang lebih baik.
Dalam PKR, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan selain bertindak sebagai penyelaras bagi pakatan pembangkang.
“Saya menarik diri sebagai calon daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden. Saya juga melepaskan semua jawatan dalam parti kerana pucuk pimpinan secara aktif membenarkan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti berlaku.
“Keputusan ini diambil kerana tiada usaha pucuk pimpinan parti untuk menangani manipulasi; amalan tidak adil serta penyelewengan dalam pemilihan meskipun ia telah dibangkitkan berulang kali,” kata beliau dalam blog http://www.zaiduntukrakyat.com, hari ini.
Dakwaan penyelewengan dalam pemilihan PKR semakin bertiup kencang apabila beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan Zaid mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan.
Kemudian, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, juga mendesak supaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguh sehingga tindakan proaktif diambil bagi membaiki segala penyelewengan.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihan, Azmin kini jauh mendahului dengan majoriti 2,620 undi selepas mengumpul 6,525 undi, Zaid mendapat 3,905 undi manakala Mustaffa pula sekadar meraih 1,215 undi.
Mengulas lanjut, Zaid berkata, beliau tidak boleh meneruskan perjuangan dalam pemilihan yang cacat kerana yakin, parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit tidak mampu menawarkan sebarang pembaharuan bermakna kepada rakyat.
“Saya menyertai PKR atas kepercayaan saya boleh mengembangkan budaya politik berprinsip yang saya anggap dapat membangunkan demokrasi dan tadbir urus yang baik di negara ini, tetapi saya sebenarnya tersilap.
“Saya berharap peminat Anwar tidak lagi menganggap saya sebagai ‘spoiler’ (pengacau) yang akan menghalang usaha mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya.