Sabtu, September 25, 2010

KALAH KES BUAT APA SPRM PUAS HATI


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpuas hati dengan mekanisme sistem pendakwaan sedia ada yang ditentukan Jabatan Peguam Negara.

Pengarah Siasatannya, Mustafar Ali berkata, walaupun mengakui keperluan badan itu diberi kuasa pendakwaan, tetapi sistem sedia ada diyakini memiliki keadilan tersendiri.

"Setakat ini, sistem dan undang-undang sedia ada cukup baik dan saya berpuas hati dengan mekanisme itu kerana apa yang penting adalah pelaksanaan.

"Kuasa pendakwaan yang menjadi bidang kuasa Peguam Negara memberi situasi 'check and balance' demi memberi keadilan kepada tertuduh dan pihak berkuasa," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Seminar dan Mesyuarat Inisiatif Antirasuah (ADB-OECD) bagi rantau Asia Pasifik di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Mustafar, sistem dan undang-undang yang diguna pakai di negara ini sekarang sudah cukup baik dan bersesuaian bagi memerangi jenayah rasuah selain selaras dengan Perlembagaan.

Bagaimanapun, tegasnya, pihaknya menyambut baik jika perubahan dilakukan pada masa depan dengan memberi lebih kuasa kepada suruhanjaya itu untuk mendakwa.

Ditanya antara pendekatan yang dapat diambil dan dikongsi hasil seminar selama tiga hari itu, Mustafar berkata, pelbagai pengalaman dan pendekatan positif dapat dipelajari SPRM.

Pada masa sama, jelas beliau, rata-rata negara yang menjadi peserta juga tertarik dengan pelaksanaan Akta SPRM yang mengandungi lima mekanisme termasuk proses semakan semula.

"Sebagai contoh, dalam siasatan, kita mempunyai jawatankuasa yang dipanggil Panel Penilaian Operasi (PPO) yang tiada pada jabatan lain.

"Selepas siasatan dijalankan dan tangkapan dilakukan selama 12 bulan, PPO boleh meminta penjelasan SPRM seandainya kes itu belum dibawa ke mahkamah.

"Contoh lain, terma rujukan. Jika kes itu selepas enam bulan dikemukakan SPRM kepada Peguam Negara tetapi tiada keputusan diambil, PPO juga boleh bertanya kenapa tiada keputusan," katanya.

Bagi saya, setakat puas hati dengan mekanisme pendakwaan tidak mencukupi kerana sudah banyak kes yang dibawa ke mahkamah SPRM kalah. Sedikit sebanyak imej SPRM tercemar. Sudah banyak contoh di hadapan mata bila dakwa tokoh-tokoh ternama di mahkamah tetapi kalah.

Oleh itu SPRM perlu melengkapkan diri supaya menang dalam semua kes yang dibawa. Kalau tidak rakyat tidak akan percaya kepada SPRM lagi kerana mendakwa tanpa bukti yang cukup.