Ahad, Julai 18, 2010

UTAMAKAN KEPENTINGAN PARTI


Empat wakil rakyat kawasan Setiu yang tidak hadir pada persidangan perwakilan bahagian itu semalam diminta supaya mengutamakan kepentingan parti dan bukan hal yang remeh temeh.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata mereka sepatutnya duduk semeja bagi menyelesaikan masalah berbangkit dan bukan dengan cara mengambil tindakan yang akhirnya memberikan gambaran tidak baik kepada UMNO negeri.

Beliau yang terkejut dan kecewa dengan apa yang berlaku, berkata perbuatan mereka memberi gambaran seolah-olah mereka membelakangi parti memandangkan persidangan itu dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Masyarakat peringkat akar umbi bahagian Kemaman di sini, pada Sabtu.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika diminta mengulas kegagalan empat ADUN berkenaan, Ramlan Ali (ADUN Jabi), Abd Halim Jusoh (ADUN Permaisuri), Asha'ari Idris (ADUN Langkap) dan Khazan Che Mat (ADUN Batu Rakit) tidak hadir pada majlis tersebut.

"Walau apapun alasan yang diberi, apabila Timbalan Perdana Menteri datang untuk merasmikan mesyuarat itu, tindakan demikian dilihat sebagai sama seperti memboikot," katanya.

Katanya, beliau berharap kesemua wakil rakyat terlibat dapat memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada Muhyiddin tentang perkara itu.

Perkara itu turut disentuh Muhyiddin dalam ucapannya yang melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan keempat-empat wakil rakyat itu hadir bersama pada majlis tersebut.

Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Setiu, petang Jumaat turut dihadiri, Anggota parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga Ketua UMNO Bahagian Setiu dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sementara itu Khazan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata Timbalan Perdana Menteri telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai ketidakhadiran beliau ke majlis itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu ketika diminta berbuat demikian.