Ahad, Julai 18, 2010

EMPAT ADUN TAK PUAS HATI DENGAN JIDIN


Empat wakil rakyat yang menzahirkan protes dengan tidak hadir pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu kelmarin sedia bertemu pimpinan tertinggi parti bagi mendedahkan permasalahan pengurusan yang didakwa hingga menyebabkan bahagian itu berada dalam keadaan tidak sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Empat ADUN termasuk dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) itu ialah ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat yang juga Ketua Pemuda; ADUN Langkap, Asha'ari Idris (Timbalan Ketua Bahagian), ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh (Naib Ketua) dan ADUN Jabi, Ramlan Ali.

Menurut Berita Harian Online, Khazan yang dihubungi berkata, ketidakhadiran beliau bersama tiga lagi wakil rakyat adalah luahan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan bahagian yang diterajui Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafiee.

Ini selepas usaha mereka menyelesaikan kemelut dalaman menemui jalan buntu.

Katanya, ketidakhadiran mereka sekadar luahan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan bahagian, dan mereka bersedia bertemu Presiden, Datuk Seri Najib Razak atau Muhyiddin untuk memberi penjelasan bagi menyelesaikan kemelut dalaman UMNO Setiu itu.

Ramlan dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pula berkata, pucuk pimpinan UMNO Setiu tidak menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan kemelut sehingga menjejaskan perpaduan dan kekuatan parti.

“Bagaimana UMNO nak kuat, nak hadapi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Biar kami buat protes supaya peringkat tertinggi parti tahu masalah ini. Saya sedia dipanggil Presiden parti atau Timbalannya pada bila-bila masa untuk memberi penjelasan mengenai masalah ini,” katanya.

Asha'ari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani pula ketika dihubungi enggan mengulas dan hanya berkata: “Mesyuarat berkenaan berlangsung dengan jayanya walaupun tanpa kehadiran saya.”

“Ketidakhadiran saya tidak mencacatkan perjalanan mesyuarat pun."


Bagaimanapun difahamkan, Asha'ari menghantar pesanan ringkas (sms) kepada Muhyiddin sebelum mesyuarat berkenaan bagi menyatakan kemungkinan ketidakhadirannya.

(dipetik dari teganuku.blogspot.com)