Selasa, Julai 20, 2010

BILA PEGAWAI KERAJAAN MELENTING


Sejak bila pegawai kerajaan boleh menjawab sindiran orang politik dalam akhbar? bagi saya, tindakan SDO Pulau Pinang, Nik Ali Mat Tunus menjawab teguran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah tidak wajar. Tambahan pula sidang akhbarnya dihadiri oleh beberapa ADUN UMNO.

Sebagai pegawai kerajaan, kita hendaklah berkecuali. Jika tidak tahan dengan kata-kata Lim Guan Eng, beliau sepatutnya minta tukar ke jabatan lain kerana beliau adalah seorang PTD yang boleh berkhidmat di mana-mana negeri kecuali Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sebagai pegawai kerajaan, tak perlulah Nik Ali membuat sidang akhbar seolah-olah beliau pula orang politik. Seolah-olah beliau mahu menjadi hero pula. Tak ada faedah semuanya itu. Jika Nik Ali tak puas hati, letak jawatan dan tanding sebagai calon BN di Pulau Pinang pada pilihanraya umum akan datang. Dapat beliau berdebat dengan Lim Guan Eng dalam Dewan Undangan Negeri nanti.

Kita ikuti laporan penuh Utusan Malaysia mengenai peristiwa ini sepertimana berikut:-

Sebelum ini, Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus hanya bersabar dan mengambil sikap berdiam diri walaupun dituduh dengan pelbagai kenyataan yang menghina peribadinya oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Namun penjawat awam itu akhirnya bersuara hari ini kerana tidak mahu lagi menjadi kambing hitam kerajaan negeri.

Menurutnya, kenyataan Guan Eng bahawa beliau tidak kompeten, tidak profesional, pengecut dan patut diberhentikan ekoran isu curi pasir di tapak projek Politeknik Balik Pulau, adalah amat biadab.

Sambil menyifatkan kata-kata kesat seumpama itu tidak sepatutnya dilemparkan seorang yang berjawatan Ketua Menteri, Nik Ali memberitahu, ia merupakan kali ketiga Setiausaha Agung DAP itu membuat kenyataan biadab dan melampau kepadanya.

"Sebelum ini, Guan Eng kata saya lidah biawak, pegawai tidak kompeten, 'little Napoleon' dan sebagainya. Apakah niat sebenarnya saya tak tahu, tapi yang kita nampak beliau 'bekerja kuat' untuk mengeluarkan saya dari negeri ini.

"Ia seperti menghina peribadi serta kerjaya saya dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, agensi yang memelihara kepentingan Kerajaan Persekutuan dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat Pulau Pinang.

"Ingin ditegaskan di sini, Guan Eng tidak mempunyai 'locus-standy' untuk menilai saya sebagai pegawai yang tidak kompeten dan sebagainya," katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada sidang akhbar isu curi pasir di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim; ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya; ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah dan ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.

Guan Eng semalam menggesa Nik Ali segera meletakkan jawatan kerana mendakwa beliau cuba melarikan diri dan menuding jari kepada orang lain berhubung isu curi pasir tanah milik Kerajaan Persekutuan di Balik Pulau.

Perang dingin antara kedua-dua individu itu tercetus apabila Guan Eng mendakwa Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk semasa majlis pelancaran projek Keretapi Bukit Bendera diikuti dengan isu perobohan pintu gerbang Taman Botani dan terbaru, isu curi pasir.

Nik Ali menjelaskan, isu curi pasir tidak ada kena mengena dengan bidang tugas dan tanggungjawab SDO, sebaliknya ia bidang kuasa pihak berkuasa negeri, Pejabat Tanah dan Daerah dan ditangani bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri.

Tambahnya, Pejabat Tanah dan Daerah mempunyai kuasa penguatkuasaan, memantau dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang menjalankan kegiatan itu sama ada di tanah persendirian, syarikat, kerajaan negeri atau Persekutuan.

"Begitu juga dalam isu perobohan gerbang di Taman Botani, beliau dakwa saya membazirkan wang kerajaan sedangkan keputusan dibuat Jemaah Menteri berasaskan prinsip rakyat didahulukan dengan mengambil kira pendapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta alam.

"Justeru, saya ingin mengingatkan Guan Eng supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bersifat serangan peribadi dengan menyiasat fakta berhubung struktur, peranan dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan negeri sebelum membuat kenyataan liar," ujarnya.