Rabu, Januari 27, 2010

ADIK IPAR BEKAS MENTERI TERIMA UPAH


Seorang saksi kes perbicaraan rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don hari Selasa memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa adik ipar kepada seorang bekas menteri pernah menerima wang daripadanya sebagai upah mempercepatkan permohonan 'calling visa' untuk pekerja asing.

Burugabudeen Mohamed Ismail, 50, berkata pembayaran dibuat dalam bentuk tunai dan deposit ke dalam akaun adik ipar bekas menteri, Syed Abdullah, pada 2008.

"Saya berurusan dengan adik ipar menteri. Bayaran kepada Syed Abdullah berbeza-beza dari RM180 hingga RM280," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Wahid.

Sithambaram: "Adakah dalam keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kamu memberi fakta ini (bayaran kepada Syed Abdullah)?."

Burugabudeen: " Ya dan mereka (BPR) telah mempastikan benda ini betul."

Sithambaram: "Syed Abdullah tu kamu jumpa di mana?"

Burugabudeen: "Di pejabat saya."

Sithambaram: "Berapa pekerja kamu boleh lulus dengan Syed Abdullah?"

Burugabudeen: "Dalam 200 kerana masa kami kenal itu singkat."

Pada 19 Ogos tahun lepas, Wahid, 57, didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam 10 Julai 2008.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu penjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Sebelum itu Burugabudeen, seorang broker, berkata urusan 'calling visa' itu dibuat sebelum 12 Jun, 2008 dan pembayaran RM180 hingga RM280 itu adalah untuk Syed Abdullah sebagai cukai perkhidmatan.

Ditanya adakah Syed Abdullah ada memberitahunya bahawa wang itu untuk satu dana politik, Burugabudeen berkata: "Secara terus terang tiada tetapi dia kata ada orang-orang yang akan terima habuannya."

Ketika prosiding, Burugabudeen mengakui bahawa beliau telah ditahan oleh pegawai PR ketika sedang berurusan dengan Mohamad Hasnan Hassan (pengadu) melibatkan urusan yang sama (calling visa) tetapi dibebaskan setelah direman selama lima hari atas tuduhan merasuah.

Turut ditahan bersama beliau adalah rakannya yang juga seorang broker Abdul Jabbar Abdullah, 49 dan isteri Abdul Jabbar, Rusalwati Husin, 31.

Dalam urusan bersama Mohamad, beliau memberitahu mahkamah bahawa bayaran sebanyak RM350 dikenakan bagi proses visa dan daripada RM350 itu beliau akan mengambil RM50 untuk dana politik tetapi tidak tahu siapa yang terlibat.

Beliau, yang sentiasa tenang sepanjang memberi keterangan, turut memberitahu Hakim Rosbiahanin Arifin bahawa beliau tidak pernah berurusan dengan Wahid tetapi mengetahui Ketua Pengarah Imigresen ketika itu adalah Wahid.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah dan Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Perbicaraan ditangguhkan sehingga 17 Mac ini.