Sabtu, Disember 26, 2009

TERENGGANU BANTU PESAKIT KRONIK


Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan khas RM10 juta tahun depan bagi membantu anak negeri yang mengidap masalah penyakit kronik seperti jantung berlubang, kanser, dan masalah saraf, dalam meringankan beban mereka untuk mendapatkan rawatan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata orang ramai yang menghadapi masalah berkaitan penyakit itu diminta menghubungi Pejabat Menteri Besar bagi memudahkan pihak kerajaan menyalurkan bantuan.

"Kerajaan negeri berharap penyediaan peruntukan itu dapat membantu usaha meringankan beban mereka yang terbabit," katanya ketika pemberita ketika ditemui semasa melawat keluarga Amran Abu Bakar, 43, di sini pada Jumaat.

Anak Amran, Nurzahirah, 10, mengalami penyakit saraf manakala adiknya Ainul Hayat, 8, yang mengalami sindrom down sejak dilahirkan juga mengalami penyakit jantung berlubang.

Ahmad berkata Nurzahirah yang kini hanya mampu terlantar akan dirujuk kepada pakar dan kerajaan negeri juga bersedia membantu untuk membiayai kos pembedahan Ainul Hayat di Institut Jantung Negara tidak lama lagi.

Katanya baru-baru ini tujuh daripada 20 pelajar Terengganu yang mengalami masalah penglihatan, menjalani pembedahan mata di Hospital Mata Tun Hussein Onn, dengan kos rawatan ditanggung oleh kerajaan negeri.