Khamis, Disember 31, 2009

MENGENANG KEMBALI TAHUN 2009


Tanpa disedari hari ini adalah hari terakhir tahun 2009. Esok tahun 2010 akan bermula. Mengenang kembali tahun 2009, sudah tentu ada peristiwa pahit dan manis berlaku sepanjang tahun ini.

Tidak terkecuali buat saya, ada yang manis dan ada yang pahit. Bagi saya paling pahit bila putus cinta dengan Fairus binti Zabidi,47, pada 7 julai lalu. Kami sudah menjalin hubungan selama 13 bulan. Sepatutnya nikah pada 10 Oktober lalu, tetapi seperti kata pepatah, manusia cuma merancang tetapi Allah yang menentukannya. Kami tidak ada jodoh untuk hidup bersama.

Sudah lima bulan lebih dia meninggalkan saya. Sehingga ini belum ada pengganti yang saya temui seperti Fairus. Fairus adalah seorang dalam seribu. Saya tak akan temui lagi perempuan sehebat Fairus yang pandai dalam serba-serbi. Pandai memasak, pandai menghias rumah, pandai langskap rumah dan pandai segala-galanya. Tetapi biarlah dia pergi. Saya doakan kebahagiaannya.

2009 juga pahit buat saya kerana terpaksa meletakkan jawatan sebagai editor akhbar Watan pada 1 April lalu. Lima bulan WATAN tak bayar gaji, maka saya terpaksa meletakkan jawatan. WATAN akhirnya ditutup. Sayang kerana kami menghidupkan semula WATAN menguruskan permit penerbitannya dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan timbalannya, Datuk Wan Farid Wan Salleh tetapi akhirnya WATAN mati semula tanpa nesan.

Saya bekerja dengan majalah Business Kini selama empat bulan tetapi terpaksa letak jawatan kerana taukehnya disahkan dapat penyakit gila babi. Di hadapan saya dia elok tetapi di belakang saya dia kutuk saya. Jadi macam mana saya mahu bekerja dengan orang gila babi seperti ini. Gaji akhir saya dia tak bayar. Jawablah di akhirat nanti kenapa dia tak bayar gaji saya kerana di akhirat dia akan menerima siksaan yang amat pedih tidak membayar gaji pekerjanya.

Saya kini sedang menyiapkan buku LIMA TANGGA KEJAYAAN yang ditulis oleh taukeh Coffee Classic, Haji Sobri Harun. Projek ini dijangka siap pada bulan Januari 2010. Selepas itu saya tak tahu akan pergi ke mana walaupun sudah ada tawaran untuk menjadi editor akhbar UMNO PAHANG.

Tahun ini juga saya dapat tawaran bekerja di RTM pada bulan Mei lalu oleh Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya tetapi saya tolak tawaran itu kerana dapat tawaran bekerja secara lisan dengan sebuah akhbar di Terengganu. Tetapi sampai sekarang saya tak terima surat tawaran itu. Menyesal saya menolak tawaran di RTM yang mana hingga sekarang Datuk Tiger marahi saya.

Tahun ini mencatat sejarah kerana dua projek yang saya lobi telah berjaya. Satu projek fire fighting di Hospital baru Seremban sebanyak RM2.5 juta yang saya lobi dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid manakala satu lagi saya lobi projek cuci bersih enam buah sekolah di Kemaman dengan Timbalan Menteri pelajaran, Datuk Dr. Puad zakarshi. Saya pun tak tahu berapa komisen saya dapat kerana kedua-dua kontraktor itu berjanji akan beri komisen jika saya berjaya lobinya. Mereka kata bayaran akan dibuat berdasarkan progress payment yang sudah tentu akan diterima pada tahun 2010.

Satu lagi projek yang saya lobi melalui Menteri Besar mungkin dapat tetapi jawatankuasa tendernya belum bermesyuarat. Menteri Besar telah memberi sokongan kepada syarikat kontraktor kelas B yang saya lobi itu. Terpulanglah kepada jawatankuasa tender. Jika ada rezeki, tak ke mana.Komisennya agak lumayan yang akan dibayar pada tahun 2010 jika berjaya kelak.

Kesimpulannya, pada tahun ini merupakan tahun kejayaan saya walaupun ada peristiwa pahit yang berlaku pada saya yang mana saya tidak dapat lupakan sampai hari ini. Sesungguhnya setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Semuanya ujian dari Allah. Bila lima bulan bekerja tak dibayar gaji, maka girlfriendpun lari. Tetapi Allah sayangi saya. Dia lari pada 7 Julai tetapi pada 8 Julai saya dapat kerja di majalah Business Kini.

Mengenang kembali tahun 2009, saya bersyukur dengan apa yang diberi oleh Allah. Ya Allah, banyak yang Kau beri, sedikit yang dapat kubalas. Mungkin saya akan menamatkan alam duda saya pada tahun 2010. Siapa yang jadi calonnya? Terserahlah kepada Allah kerana jodoh pertemuan, hidup, mati kita semuanya telah ditentukan oleh Allah. Hanya Allah yang tahu siapa yang bakal menjadi isteri saya.