Selasa, Disember 29, 2009

KALAU MAHU BANTUAN JANGAN MEROKOK


Tabiat tidak merokok mungkin dicadangkan sebagai prasyarat untuk belia dan pelajar yang memohon bantuan kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata cadangan itu disuarakan kerana banyak pihak terutamanya belia dan pelajar masih mampu membeli rokok meskipun harga rokok sudah beberapa kali dinaikkan.

"Dia kata dia miskin, dia tiada apa-apa. Tapi kalau boleh beli rokok, kita kata anda tidak layak terima apa-apa bantuan. Rokok mampu beli, kenapa lain tak mampu beli," katanya dalam sidang akhbar di sini Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam bahawa mulai 1 Jan, harga minimum rokok ditetapkan kepada RM6.40 bagi 20 batang atau dikira pada harga 32 sen bagi sebatang.

Tindakan itu adalah untuk mengurangkan kemampuan membeli rokok terutamanya oleh golongan muda dan yang berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

Ahmad Shabery berkata permohonan bantuan kerajaan seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin atau bantuan lain daripada pemohon yang mampu melanggan stesen televisyen berbayar atau menghisap rokok juga perlu dipertimbangkan sebelum diluluskan.

"Orang mendakwa diri miskin dan perlu bantuan tetapi dalam masa yang sama mereka memiliki barang-barang mewah yang tak patut mereka miliki dan mereka sepatutnya tak pohon," kata beliau.

Beliau berkata meskipun peraturan itu tidak termaktub dalam mana-mana undang-undang, ia sepatutnya dijadikan pertimbangan sebelum mereka layak diberikan bantuan atau sebaliknya.

Mengenai cadangan hasil cukai jualan rokok bukan sahaja disalurkan kepada pembangunan bola sepak negara tetapi turut disumbangkan kepada sukan-sukan yang lain, Ahmad Shabery berkata beliau akan mengemukakan kertas cadangan itu kepada Kementerian Kewangan.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) serta melancarkan Ekspedisi 1Belia 1Malaysia yang dianjurkan kementeriannya dengan usahasama Majlis Belia dan Sukan.

Ekspedisi yang melibatkan 70 peserta itu akan merentasi 10 negeri, yang bermula hari ini dan berakhir pada Sabtu ini di Lenggong, Perak, bertujuan memberi pendidikan dan maklumat yang tepat kepada belia mengenai program 1Belia 1Malaysia.

Mengenai MPBN, Ahmad Shabery berkata pelbagai pandangan disuarakan sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan serta program-program yang perlu dilaksanakan untuk belia pada masa akan datang.

"Selain itu Majlis Belia Negara juga ada mengemukakan cadangan yang amat komprehensif hingga ke peringkat untuk mengantarabangsakan pergerakan belia ini termasuk mengadakan rangkaian dengan negara jiran seperti Indonesia dan negara lain," katanya.