Keengganan Sothi berkompromi dengan Subra menimbulkan pertanyaan, adakah beliau sengaja dipasang oleh Samy Vellu untuk memecahkan undi Subra. Dalam pada itu Subra mendakwa kekalahannya berpunca dari politik wang di mana setiap perwakilan diberi RM300 untuk mengundi Palanivel.
Calon pilihan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menyapu bersih semua jawatan tertinggi parti, manakala 19 daripada 27 calon pilihannya memenangi 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipertandingkan, sekali gus membuktikan pengaruh beliau dalam parti itu tidak boleh digugat.
Seperti yang diramalkan sebelum ini, Datuk G Palanivel, 60, menang dengan 629 undi atau majoriti 82 undi untuk kekal sebagai Timbalan Presiden, menewaskan Datuk S Subramaniam, 65, yang mendapat 547 undi dan pencabar kedua, Datuk S Sothinathan, 49, hanya mendapat 281 undi.
Pada pemilihan MIC 2006, Palanivel mendapat 933 undi menewaskan Subramaniam, yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti 438 undi dalam pertandingan satu lawan satu.
Dalam perebutan jawatan Naib Presiden pula, tiga calon pilihan presiden, Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam; Bendahari Agung MIC, Datuk SK Devamany dan Ketua Penerangan MIC, Datuk M Saravanan menang besar dengan masing-masing mendapat 1,260 undi, 1,122 undi dan 1,030 undi.
Empat lagi calon naib presiden jauh ketinggalan dengan Datuk S Balakrishnan hanya mendapat 471 undi, P Subramaniam (225 undi), Datuk VKK Teagarajan (215 undi) dan P Maariyayee memperoleh 61 undi.
Walaupun ramai mengharapkan perubahan besar dalam MIC pada pemilihan sempena Perhimpunan Agung ke-63, hakikatnya, 1,464 perwakilan mahukan status quo sedia ada kekal kecuali bagi senarai anggota CWC, itu pun hanya menyaksikan perubahan kecil.
Namun, lima pemimpin veteran yang juga Pengerusi MIC Negeri, termasuk Datuk G Rajoo (Perak), Datuk T Rajagopalu (Negeri Sembilan), Datuk R Raghavan (Melaka), Datuk Dr K Rajapathy (Pulau Pinang) dan Datuk V Saravanan (Kedah) kecundang meskipun disenaraikan pilihan presiden.
Walaupun begitu, secara keseluruhan hanya empat calon bukan pilihan presiden berjaya menongkah arus bagi memenangi kerusi CWC, termasuk SP Manivasagam, Datuk S Ganesan, Madhu Marimuthu dan KP Samy, manakala 19 lagi kerusi dibolot calon Samy Vellu.
Barisan pilihan presiden kali ini turut menampilkan 18 muka baru, termasuk dua calon berbangsa Punjabi, Datuk Randhir Singh dan Jaspal Singh, selaras dengan proses pembaharuan dalam parti dengan memperkenalkan calon daripada kumpulan etnik lain.
Palanivel, yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, difahamkan sudah bersedia untuk mengambil alih pucuk pimpinan tertinggi parti sebelum pemilihan parti seterusnya pada 2013.