Pak Lah menyokong penghapusan sistem kuota dalam pemilihan UMNO tetapi yang peliknya di zamannya dia tak rombak pun sistem itu kerana takut ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden UMNO.
Jadi nampaknya siapa yang lebih berani dan ikhlas kalau bukan Datuk Seri Najib? Najib mahu selamatkan UMNO dan beliau bukannya ada agenda untuk menyelamatkan diri sendiri seperti Pak Lah.
Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bersetuju menghapuskan sistem kuota serta memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan memilih pada perhimpunan agung parti sebagai tepat pada masanya.
Bekas Presiden Umno itu yang percaya keputusan berkenaan sudah lama dinantikan semua pihak, berkata perubahan itu juga mampu membantu usaha membanteras politik wang setiap kali menjelang perhimpunan agung parti.
Ditanya mengapa sistem kuota tidak dihapuskan ketika beliau menjadi Presiden parti, bekas Perdana Menteri berkata, tiada cadangan dikemukakanberhubung perkara itu ketika beliau memegang teraju kepemimpinan Umno.
"Tiada cadangan sebenarnya... jika ada pun, ia hanya suara terpencil. Jadi, keputusan ini pastinya menggembirakan semua pihak termasuk pemimpin dan ahli Umno selain orang ramai," katanya sambil berharap perubahan itu mampu menjadikan Umno semakin kukuh dan diterima masyarakat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan hari raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal, di sini semalam.
Kelmarin, MT Umno pada dasarnya bersetuju menghapuskan sistem kuota dan memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan untuk membuat pemilihan pada perhimpunan agung parti.
Kelmarin, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan berkata, keputusan itu bertujuan membanteras politik wang serta menjadikan proses pemilihan parti lebih telus dan demokratik, selain menunjukkan Umno sebagai parti yang lebih inklusif dengan membabitkan seberapa ramai golongan.