Selasa, Ogos 25, 2009

PAS DIJANGKA KEKALKAN KERUSI


Calon Pas, Salleh Man dijangka mengekalkan kerusi DUN permatang Pasir pada malam ini dengan majoriti yang merosot. Serangan bertalu pembangkang terhadap calon BN, Rohaizat Othman menyebabkan calon BN sukar untuk merampas kerusi tersebut.


Pada mulanya Rohaizat diserang kerana masalah firma guamannya digantung. Kemudian beliau diserang kerana tidak mengaku mempunyai isteri kedua di Pahang yang menyebabkan BN dapati agar sukar mahu mempertahankan peribadi calonnya lagi. Inilah kali pertama dalam sejarah BN tersalah pilih calon yang menyebabkan peribadi calon BN diserang habis-habisan oleh pihak pembangkang.


Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dijangka dapat diumumkan sebelum pukul 8 malam esok.


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya tidak menjangkakan sebarang masalah dalam proses pengundian dan oleh itu keputusan boleh diketahui sebelum pukul 8 malam.


"Selain itu, SPR juga meletakkan sasaran jumlah peratusan keluar mengundi kira-kira 80 peratus berdasarkan beberapa faktor antaranya cuaca hujan, puasa dan cuti sekolah.


"Kami harap pengundi tidak berlengah untuk keluar menunaikan tanggangjawab mereka esok. Sebanyak lapan pusat mengundi dengan 39 saluran akan mula dibuka tepat pukul 8 pagi dan ditutup pukul 5 petang," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Permatang Pauh semalam

.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, Allahyarham Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.


Pilihan raya kecil esok akan menyaksikan persaingan dua penjuru antara calon BN, Rohaizat Othman dan calon Pas, Mohd. Salleh Man.


Bagaimanapun kedua-dua mereka bukan pengundi berdaftar di kerusi DUN Permatang Pasir.
Sementara itu, Abdul Aziz menasihatkan para pengundi supaya memakai penutup mulut dan hidung berikutan penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).


Katanya, bilik mengundi juga akan disembur dengan bahan pembunuh kuman setiap dua jam sekali oleh Jabatan Kesihatan yang turut menempatkan petugas mereka di setiap pusat pembuangan undi.


"Untuk kemudahan pengundi juga, kita sediakan sebanyak lapan buah kerusi roda untuk pengundi uzur dan cacat," jelasnya.


Sementara itu ditanya mengenai dakwaan adanya pengundi hantu oleh Pergerakan Pemuda UMNO, Abdul Aziz berkata, perkara itu tidak pernah wujud sama seperti mana juga yang sering dilemparkan pembangkang sebelum ini.
Katanya, dakwaan terbaru itu didapati ia tidak berasas kerana semakan SPR memang mendapati pengundi yang dikatakan pengundi hantu itu memang berdaftar di alamat yang tertera.


"Kalau ada bukti kukuh, kami pun nak tangkap juga 'hantu' ini tetapi semakan kita dapati dakwaan itu tak benar.


"Ini biasalah, di Kuala Terengganu dulu Pas bangkitkan isu pengundi hantu, macam-macam jenis hantulah timbul tapi selepas diumumkan menang, Pas puji melambung SPR dan polis, semua bagus," ujarnya.


Ditanya mengenai pemindahan pengundi yang didakwa sedang dilakukan pihak pembangkang, beliau berkata, dari segi undang-undang penentuan kawasan mengundi adalah dilakukan mengikut alamat di kad pengenalan.


"Kalau mereka datang ke SPR bawa kad pengenalan, apa boleh buat. Lainlah dibuktikan kalau ada satu perancangan tersusun yang melibatkan paksaan untuk pengundi menukar alamat kad pengenalan, ini baru salah.


"Sebenarnya nak daftar pengundi bukan mudah. Selepas daftar kita pamer untuk bantahan. Jadi kalau ada keraguan maka bantahan boleh dikemukakan sebelum diwartakan, ini bukan kerja sehari dua," katanya.