Selepas Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai, BN sekali lagi tewas di Permatang Pasir. Sehingga ini BN hanya menang di Batang Ai sahaja dalam sejarah pilihan raya kecil selepas pilihanraya umum 2008.
Pas mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, selepas calonnya, Mohd Salleh Man, 52, menang dengan majoriti 4,551 undi.
Mohd Salleh memperoleh 9,618 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, yang mendapat 5,067 undi.
Keputusan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, di sini pada jam 7.30 malam ini.
Seramai 14,832 pengundi atau 73.1 peratus daripada 20,290 pemilih mengundi. Sebanyak 83 undi rosak. Inilah kali pertama Salleh Man menang bertanding dalam pilihan raya setelah kalah banyak kali bertanding sebagai calon PAS.
ADUN tunggal PAS di Pulau Pinang ini nampaknya dianaktirikan kerana akan dilantik Yang Dipertua Majlis Agama Pulau Pinang. Sepatutnya wakil rakyat PAS ini dilantik Exco kerana kerajaan Pakatan Rakyat sepatutnya ada gabungan Exco dari DAP-PKR-PAS dan bukannnya kerajaan DAP-PKR. Ketua Menteri Pulau Pinang, Kim Guan Eng langsung tidak memberi peluang kepada ADUN PAS berada dalam kerajaan.