Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan peruntukan sebanyak 100 unit percuma Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) kepada hampir 50,000 pelajar tahun satu peringkat ijazah pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009.
Peruntukan yang membabit sejumlah RM5 juta disumbangkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Pos Malaysia.
Pengumuman khas itu dibuat sempena pelancaran AS1M dengan jumlah dana sebanyak RM10 bilion, saiz terbesar unit amanah yang pernah ditawarkan PNB setakat ini.
AS1M yang dibuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas adalah dana berharga tetap pada RM1 seunit yang dibuka untuk langganan dalam tempoh tawaran awal selama 30 hari mulai 5 Ogos hingga 3 September.
Pelancaran AS1M itu mengotakan janji Najib kepada rakyat yang dibuat semasa ucapan 100 hari pentadbirannya tiga minggu lalu.
Najib berkata, sebagai pewaris negara, kerajaan mahu melihat golongan muda yang mendapat pendidikan peringkat ijazah menjadi warganegara berwawasan dan progresif serta bijak dalam bidang pelaburan dan perancangan kewangan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus diperuntukkan untuk bumiputera, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan selebihnya untuk kaum-kaum lain.
''Penetapan peruntukan ini dibuat berdasarkan pola kependudukan rakyat Malaysia.
''Selepas tamat tempoh tersebut, unit-unit AS1M yang masih ada akan dibuka untuk langganan semua rakyat Malaysia.
''Saya berpendapat cara ini adalah yang paling adil dan telus untuk PNB mendapatkan pelabur-pelabur yang benar-benar berminat, sementara rakyat Malaysia semua mempunyai peluang yang sama untuk melabur,'' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran AS1M di sini semalam.
Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Dana amanah terbaru itu boleh dilanggan dengan jumlah pelaburan permulaan minimum 100 unit dan pelaburan tambahan minimum pula sebanyak satu unit.
Bagi memastikan penyertaan menyeluruh daripada rakyat Malaysia, had langganan maksimum bagi AS1M ditetapkan pada 50,000 unit bagi setiap pelabur berumur 18 tahun hingga 55 tahun.
Had langganan maksimum bagi mereka yang berumur melebihi 55 tahun pula 100,000 unit dengan tujuan memberi pilihan kepada golongan itu mempelbagaikan pelaburan bagi merancang keperluan persaraan mereka.
Perdana Menteri berkata, pelancaran AS1M akan memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia, sekali gus mencapai sasaran tebaran pelabur yang lebih luas dan saksama.
Tambahnya, agihan yang besar diberikan kepada warga emas sebagai anugerah sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi selama ini.
Beliau berkata, selain itu pelancaran dana tersebut dapat meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat melalui pemegangan dana amanah serta membantu merangsang ekonomi negara melalui pelaburan dalam pasaran saham dan instrumen-instrumen lain.
''Dengan adanya tabung yang menawarkan saiz dana terbesar ini, ia bukan sahaja memberi suntikan kepada pasaran ekuiti sebaliknya menjadi kepada pemangkin pertumbuhan negara.
''Malah, dengan adanya dana ini, PNB berupaya melabur dalam syarikat-syarikat tertentu yang kukuh dan membentuk syarikat-syarikat baru.
''Akhirnya rakyat juga yang akan mendapat faedah,'' ujar beliau.
Dalam ucapannya, Najib berkata, meskipun PNB sudah membuktikan kejaguhannya di negara sendiri tetapi kerajaan berharap kejayaan itu dapat dilebarkan ke peringkat antarabangsa.
Hamad Kama Piah dalam satu sidang akhbar berasingan berkata, langganan AS1M boleh dibuat di semua pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan Pos Malaysia mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Manakala urus niaga dengan ejen-ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank pula pada pukul 9.15 pagi hingga 4.30 petang, bergantung kepada waktu urus niaga masing-masing.