Jumaat, April 10, 2009

NAJIB TIDAK AMAL PECAH PERINTAH


Siapa yang dilantik menteri dan yang gugur sudah terjawab semalam apabila Najib Razak mengumumkan kabinet sulungnya pada tepat jam 3 petang melalui siaran langsung di televisyen.


Kabinet sulung Najib nampaknya lebih radikal dari kabinet sulung Dr. Mahathir yang diumumkan dua hari selepas Dr. Mahathir angkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981. Kabinet sulung itu hanya menaikkan pangkat dua orang timbalan menteri dalam kabinet Hussein Onn sebagai menteri penuh iaitu Pak Lah dan Sanusi Junid.


Kabinet sulung Pak Lah selepas beliau angkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003 hanya menamakan Senator Nor Yackop Mohamed sebagai Menteri Kewangan kedua sebaliknya kabinet sulung Najib semalam melahirkan tujuh orang menteri baru, lima dari UMNO, satu dari Gerakan dan satu dari MCA.


Presiden Gerakan, Dr. Koh Tsu Koon dibawa ke kabinet untuk menjaga perpaduan dan perpaduan prestasi manakala Kong Cho Ha dinaikkan pangkat sebagai menteri menggantikan Ong Ka Chuan yang kalah dalam pertandingan timbalan presiden MCA. Sebaliknya timbalan presiden MCA yang menang, Dr. Chua Soi Lek tidak dilantik senator dan menteri kerana rekodnya terlibat dalam skandal seks telah mencemari namanya. Masakan Najib mahu melantiknya semula dalam kabinet.


Lima menteri baru dari UMNO adalah dua muka baru, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan menggantikan Zulhasnan Rafique dan Jamil Khir Baharom menggantikan Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ditukarkan ke Kementerian Pertahanan.


Seorang timbalan menteri yang dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kewangan kedua ialah Ahmad Husni Hanadzlah manakala bekas timbalan menteri yang dinaikkan pangkat sebagai menteri ialah Anipah Aman dari Sabah. Ketua Wanita UMNO yang baru, Shahrizat Jalil yang mengalahkan Rafidah Aziz kembali ke kementerian lamanya, Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.


Ketua wanita ada jawatan dalam kabinet, begitu juga ketua puteri, Rosnah Shirlin dilantik Timbalan Menteri Kesihatan tetapi ketua pemuda, Khairy Jamaluddin tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri. Sebaliknya calon ketua pemuda yang kalah, Mukhriz Dr. Mahathir dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


Naib Ketua pemuda, Razali Ibrahim dilantik Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Nasib Khairy sama dengan Haji Suhaimi Kamaruddin dan Dr. Zahid Hamidi yang jadi ketua pemuda tapi tidak memegang jawatan kerajaan. Bagus juga Khairy tiada dalam kabinet supaya pemuda lebih lantang menegur kerajaan melaksanakan dasar yang ada. Jika Khairy berada dalam kerajaan agak sukar pemuda mahu menegur kerajaan. Tidak benar dakwaan Dr. Mahathir bahawa Khairy tidak dilantik dalam kerajaan kerana beliau didapati bersalah dalam politik wang.


Najib meneruskan langkah Pak Lah. Apabila Dr. Mahathir beri laluan kepada Pak Lah jadi Perdana Menteri, Pak Lah tidak melantik anak Dr. Mahathir, Mukhriz sebagai timbalan menteriselepas beliau menang dalam pilihan raya pada tahun 2008. Najib yang diberi laluan oleh Pak Lah meneruskan langkah Pak Lah dengan tidak melantik menantu Pak Lah, Khairy sebagai timbalan menteri.


Khairy kena buktikan bahawa beliau perlu menjadi ketua pemuda yang berkesan terlebih dahulu sebelum diberi ganjaran jawatan dalam kerajaan dalam rombalan kabinet yang akan datang. Oleh itu Khairy perlu merapatkan barisan pemuda terlebih dahulu sebelum menjadi ketua pemuda UMNO yang selantang zaman Harun Idris atau Anwar Ibrahim.


Peranan UMNO Sabah semakin penting dalam kabinet Najib. Shafie Afdal yang merupakan Naib Presiden UMNO yang pertama dari Sabah diberi jawatan Menteri pembangunan luar bandar dan wilayah menggantikan Muhammad Muhd. Taib. Seorang lagi menteri baru dari Sabah ialah Anipah Aman bekas timbalan menteri yang menolak dilantik timbalan menteri selepas pilihan raya umum 2008.


Saya kira langkah melantik Anipah adalah tidak wajar seolah-olah jawatan menteri boleh diugut. Dahulu beliau tolak dilantik timbalan menteri kerana kononnya beliau layak jadi menteri penuh selepas pilihanraya umum lalu. Jika keadaan ini diterima, lain kali orang lain boleh menolak juga tawaran Najib yang mahu melantiknya sebagai timbalan menteri.


Yang menjadi persoalan kenapa Anipah yang dilantik menteri dari Sabah dan bukannya Lajim Okin yang menang majlis tertinggi UMNO di tempat kelapan? Ketua Menteri Sabah, Musa Aman menganggap kemenangan musuh politiknya, Shafie Afdal sebagai Naib Presiden UMNO telah menyebabkan zaman Musa sebagai Ketua Menteri Sabah akan berakhir tidak lama lagi. Shafie selaku Naib Presiden UMNO yang mahu terus menguasai perwakilan Sabah mahu seorang calon Ketua Menteri yang menjadi proksinya. Menyedari hakikat ini, maka dinasti Aman dalam politik Sabah akan berakhir tidak lama lagi. Maka jalan terbaik untuk mengekalkan dinasti Aman dalam politik Sabah ialah dengan mencalonkan adiknya, anipah sebagai menteri pusat yang baru.


Hanya satu sahaja ramalan saya tepat iaitu dengan naiknya Husni Hanazlah sebagai menteri penuh. Ini bermakna Perak ada tiga menteri penuh, Zahid Hamidi, Nazri Aziz dan Husni Hanazlah. Johor yang pernah ada lima menteri kini ada tiga menteri sahaja Muhyiddin, Hishamuddin dan Khaled Nordin.


Walaupun kalah dalam pertandingan naib presiden UMNO, Khaled dikekalkan menteri kerana kononnya funder beliau adalah juga funder Najib. Tambahan pula beliau kalah tipis di tangan Shafie Afdal. Dr. Rais Yatim juga yang kalah dalam pertandingan naib presiden UMNO dikekalkan dalam kabinet Najib. Dr. Rais mencatat sejarah kerana jadi setiausaha parlimen dalam kabinet Tun Razak dan kini anak Razak melantiknya sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan. Menggabungkan dua kementeriaan kepada satu dan Najib mengamanahkannya kepada Dr. Rais menunjukkan peranan Dr. Rais semakin besar. Ada yang meramalkan beliau bakal dilantik Setiausaha Agung atau Ketua Penerangan UMNO yang baru.


Bekas Menteri Penerangan, Shabery Cheek ditukarkan ke Kementerian Belia dan Sukan yang lebih junior dan ia mengekalkan status quo UMNO Terengganu yang kekal dengan seorang menteri. Dahulu Terengganu ada satu menteri dan dua timbalan menteri. Kini Terengganu hanya ada satu menteri sahaja dan semua tak layak jadi timbalan menteri walaupun Nasir Ibrahim Fikri disebut-sebut akan dilantik timbalan menteri yang baru.


Nampaknya Najib tidak mementingkan UMNO Terengganu. Silap-silap BN tumbang di Terengganu pada pilihan raya umum akan datang kerana rakyat Terengganu kecewa hanya ada satu menteri dan tiada timbalan menteri sedangkan dulu ada dua timbalan menteri, Wan Farid Wan Salleh dan Razali Ismail.


Melaka hanya tinggal seorang timbalan menteri Abu Seman Yusof. Idris Harun yang baru menang majlis tertinggi UMNO digugurkan timbalan menteri. Oleh itu sama ada menang atau kalah dalam pertandingan majlis tertinggi UMNO bukan ukuran buat Najib melantik seseorang itu sebagai menteri atau timbalan menteri.


Dengan menangnya Muhyidin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO maka beliau secara automatik dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran. Muhyiddin perlu kukuhkan akar umbinya. Maka Kementerian Pelajaran yang lebih sesuai buat beliau untuk bergaul dengan rakyat walaupun perwakilan G7 dari kalangan guru sudah berkurangan.


Najib lebih ikhlas dari Dr. Mahathir yang melantik Ku Li sebagai menteri walaupun kalah dalam pertandingan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981 di tangan Musa Hitam. Najib tidak mengamalkan politik pecah perintah Dr. Mahathir. Beliau tidak kekalkan Muhammad Muhd. Taib yang tewas dalam pertandingan itu di tangan Muhyiddin dalam kabinet kerana Najib mahu hubungan serasinya dengan Muhyiddin tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.


Seperti kata Najib, prestasi menteri dan timbalan menteri akan dinilai setiap enam bulan. Jika beliau tidak puas hati dengan prestasi mereka, kita berharap rombakan kecil kabinet akan dibuat pada Oktober nanti. Selamat bertugas buat semua.