Isnin, April 13, 2009

DUA TAHUN UNTUK BN BERUBAH



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menetapkan tempoh dua tahun dari sekarang untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) melaksanakan segala transformasi yang sesuai dalam usaha menguatkan kedudukan parti itu.



Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya akan berusaha meningkatkan keyakinan dan kepercayaan, bukan saja di kalangan orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia terhadap keupayaan UMNO dan BN terus menerajui negara ini.



"Orang biasa bercakap mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013 sebaliknya saya menetapkan tahun ini dan tahun depan bagi melaksanakan segala pendekatan dan perubahan yang hendak kita lakukan.



"Apa-apa bentuk pembaharuan ini, kita harus mulakan dengan seberapa segera, baik melibatkan


soal organisasi UMNO atau BN, struktur dan program yang kita hendak aturkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis tahlil dan doa selamat serta meraikan ahli-ahli UMNO Bahagian Pagoh di kediamannya di Bukit Damansara di Kuala Lumpur semalam.



Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sepanjang tempoh dua tahun itu,


tumpuan harus diberi bagi memastikan kepimpinan di semua peringkat memahami hala tuju baru UMNO dan BN serta memberi perhatian kepada usaha memulihkan imej parti.



"Saya tidak mahu rakyat menunggu agak lama kerana akan timbul kata-kata UMNO belum berubah dan akan timbul kenyataan bahawa BN seperti lama dulu," katanya.



Muhyiddin menegaskan, semua pihak harus bekerja keras untuk menarik sokongan rakyat kerana beliau melihat wow factor (faktor penarik) yang disebutnya sebelum ini masih tidak terserlah dan ini tidak baik terhadap UMNO dan BN.



"Kita perlu pastikan pimpinan parti di semua peringkat memahami aspirasi kerajaan.
"Kadang-kadang timbul keadaan yang mana orang di atas cakap satu hal tetapi di bawah tidak faham maksud kita menyebabkan kesan dikehendaki tidak sebesar mana. Ini tidak baik bagi imej parti kita," ujarnya.



Beliau menjelaskan, tempoh singkat selama dua tahun itu ditetapkan bagi membolehkan pihak kepimpinan UMNO dan BN menilai tahap sokongan rakyat terhadap parti itu.



"Kalau dalam tempoh ini, kita nampak masyarakat masih belum bersedia (memberi sokongan) dan masih banyak kelemahan, kita ada masa lagi setahun sebelum pilihan raya umum. Ini cara saya bekerja, saya biasa menentukan satu tempoh jadual yang sesuai.



"Jangan kita leka seolah-olah masa masih lama lagi dan selepas itu baru sedar dan ini sudah terlambat. Kalau sudah terlambat tidak boleh buat apa-apa, kita harus terima bahana daripada kegagalan atau kecuaian kita," katanya.



Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau akan memberi tumpuan bagi memperkasa UMNO dan meningkatkan semangat di kalangan ahlinya dengan menganjurkan program motivasi dan khemah kesedaran yang disertai pemimpin di semua peringkat.



"Langkah ini amat penting kerana dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, hal ini tidak langsung diberi perhatian.



"Mungkin program ini tidak perlu diadakan di bangunan hebat-hebat. Kita tengok keperluan dan boleh juga ikut cara dalu apabila kita mengguna bangunan sekolah, balai raya dan tempat awam yang boleh diguna pakai, jadi kos menguruskan menjadi rendah," katanya.



Bagi melaksanakan agenda itu, katanya, jawatankuasa pengurusan parti yang diketuainya akan menyediakan modul latihan khusus, berdasarkan landskap politik baru dengan tumpuan diberikan bagi mendapatkan sokongan generasi muda.



"Tumpuan program ini tidak hanya pada kulitnya, tetapi transformasi ini turut mengambil kira aspek pengisian membabitkan pemahaman terhadap perlembagaan, hak antara kaum, kedudukan raja-raja, agama serta konsep Rukun Negara," ujarnya.


Saya yang turut diundang membuat liputan untuk majlis ini pergi ke rumah Muhyiddin dengan Pak Lah seoraang jurugambar veteran di Ibupejabat UMNO yang banyak membantu mencari iklan untuk akhbar WATAN. Ini adalah kali kedua saya berkunjung ke rumahnya. Kali pertama bulan lepas ketika mengadakan wawancara khas dengan beliau untuk akhbar WATAN.


Ramai pemimpin Johor yang hadir yang saya kenali termasuk Datuk Ron, Othman Jais, Bani, Muntaha Kailan, Aris Shamsuddin, Syed Hood dan tidak ketinggalan kawan lama Datuk Zaabar Aman yang juga bekas ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Pagoh. Turut kelihatan ialah ADUN Sabah dari Tawar, Datuk Syed Abas dan orang kuat Muhyiddin di Sabah, Badli.


Pendek kata walaupun majlis itu untuk ahli UMNO Pagoh, tetapi rakan-rakan rapat Muhyiddin turut hadir.