Siapa yang bakal naik pangkat dan digugurkan dari kabinet Najib Abdul Razak akan diketahui lusa, 8 April. Menurut ramalan saya, seramai enam menteri akan digugurkan dari kabinet Najib. Mereka yang kalah dalam pertandingan UMNO 26 Mac lalu.
Mereka ialah Muhammad Muhd. Taib (Menteri Pembangunan Luar Bandar) yang kalah bertanding jawatan Timbalan Presiden; Syed Hamid Albar (Menteri Dalam Negeri), Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi), Dr. Rais Yatim (Menteri Luar) yang ketiga-tiganya kalah bertanding jawatan Naib Presiden serta Azalina Othman( Menteri Pelancongan) dan Shahrir Samad(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).
Shahrir telah meletakkan jawatan pada 1 April lalu di hari terakhir Tun Abdullah Ahmad Badawi mempengerusikan mesyuarat terakhir kabinetnya. Shahrir seorang yang gentleman kerana berani meletakkan jawatan berbanding lima menteri lain yang kalah.
Najib tidak mahu menjadi seperti Dr. Mahathir yang mengamalkan pecah dan perintah. Walaupun Ku Li kalah dalam pertandingan Timbalan Presiden pada tahun 1981, Dr. Mahathir mengekalkan Ku Li dalam kabinet yang menyebabkan Musa Hitam kecil hati dengan Dr. Mahathir. Oleh itu Najib tak perlu mengekalkan Muhammad Muhd. Taib dalam kabinet kerana beliau telah kalah di tangan Muhyiddin Yasin dalam pertandingan Timbalan Presiden.
Syed Hamid telah lama jadi menteri sejak tahun 1990 lagi. Sudah 19 tahun dalam kabinet Dr. Mahathir dan Pak Lah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kehakiman, Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri. Oleh itu Najib perlu menggantikan Syed Hamid dengan orang lain sebagai Menteri Luar. Tambahan pula beliau kalah dalam pertandingan Naib Presiden UMNO.
Khaled Nordin pun kalah. Jadi beliau wajar menerima hukuman yang sama seperti Syed Hamid. Beliau dikatakan kurang tabur wang di malam akhir. Itu yang menyebabkan beliau kalah di tangan Shafie Afdal. Beliau pernah jadi Menteri Koperasi dan Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pengajian Tinggi yang disandangnya dikatakan akan digabungkan semula dengan Kementerian Pelajaran.
Menteri Luar, Dr. Rais Yatim yang kalah dalam pertandingan Naib Presiden UMNO telah lama berkhidmat sejak di zaman Tun Razak lagi sebagai setiausaha parlimen. Pengalaman luasnya sebagai timbalan menteri, menteri besar, Menteri Penerangan, Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, menteri Luar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan membuatkan beliau adalah ahli parlimen terlama di Dewan Rakyat kini sejak tahun 1974 lebih dahullu dari Najib sebagai ahli parlimen (1976). Oleh itu sudah sampai masanya bagi beliau bersara dari kabinet.
Azalina gagal dalam pertandingan majlis tertinggi. Kesnya dengan SPRM sedang disiasat. Najib mahu menteri yang bersih, maka Najib tidak mungkin mengekalkan Azalina sebagai menteri walaupun mahkamah belum mendapati beliau bersalah.
Bagaimana nasib tiga naib Presiden yang menang? Dr. Zahid Hamidi yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mungkin ditukarkan ke kementerian yang lebih kanan, Kementerian Pelajaran. Hishamuddin Hussein yang sudah dua penggal menjadi Menteri Pelajaran mungkin ditukarkan ke Kementerian Pertahanan manakala Shafie Afdal yang baru menjadi Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan mungkin ditukarkan ke Kementerian Dalam Negeri.
Memanglah bila kalah dalam perebutan jawatan dalam parti tidak semestinya tak boleh dilantik sebagai menteri kerana ia adalah perkara yang berlainan. Sebaliknya adalah janggal bila menteri tidak berada dalam majlis tertinggi UMNO. Oleh itu orang kalah seperti Pak Lah (1993), Muhyiddin (1996), Rafidah (1996) dan Ku Li (1981) pernah dilantik menteri oleh Dr. Mahathir. Jadi tak salah bagi Najib jika beliau lantik enam menteri yang kalah ini sebagai menteri. Itu adalah hak Najib.
Tetapi sebagai Perdana Menteri yang baru, sudah tentu Najib mahu dilihat sebagai Perdana Menteri yang membawa perubahan. Oleh itu lebih wajar beliau melantik enam orang baru sebagai menteri dari kuota UMNO.
Di antara enam orang yang diramalkan dilantik menteri ialah Husni Hanazlah, Hamzah Zainuddin, Lajim Okin, Dr. Latif Ahmad, Saifuddin Abdullah dan Idris Jusoh. Manakala beberapa orang yang bakal dilantik timbalan menteri ialah Kamilia Ibrahim, Khairy Jamaluddin, Mukriz Dr. Mahathir dan Rosnah Abdul Rashid, Tajuddin Rahman, Dr. Fuad Zakarshi.
Bagaimana pula nasib tiga menteri yang tidak bertanding dalam majlis tertinggi seperti Nor Yackop Mohamed, Amirsham dan Nazri Aziz? Nazri mungkin dilantik Ketua Penerangan UMNO yang baru untuk dibolehkan terus dilantik sebagai menteri. Manakala jika Nor Yackop dan Amirsham mahu dikekalkan menteri, mungkin Najib terpaksa melantiknya sebagai ahli majlis tertinggi UMNO.
Najib mungkin mengurangkan perlantikan senator sebagai menteri kerana perlantikan senator menutup peluang kepada ahli dewan rakyat yang menang. Justru itu jika Najib mengecilkan kabinet, maka eluang senator untuk menjadi menteri adalah semakin tipis.