Ahad, April 05, 2009

DR.MAHATHIR TEGUR UMNO, BN KALAH LIMA NEGERI


Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam kembali menyertai UMNO setelah hampir setahun meninggalkan parti tersebut.


Bekas Presiden UMNO itu bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menyerahkan borang keahlian yang kekal bernombor 001 dan 002 kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna di Sri Satria di Putrajaya.


Bercakap kepada pemberita, Dr. Mahathir, 84, melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali dan diterima semula oleh UMNO.


‘‘Walaupun saya berada di luar UMNO tetapi dalam hati saya masih orang UMNO. Walaupun saya tegur UMNO, saya fikir teguran itu adalah untuk membina UMNO, bukannya untuk menghancurkan UMNO.


‘‘Oleh itu saya berharap yang keluar UMNO sama dengan saya akan kembali semula dan harap parti akan menerima mereka,” katanya.


Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.


Pada majlis itu juga, anak Dr. Mahathir iaitu Datuk Mokhzani turut mengambil langkah sama menyertai semula UMNO.


Dr. Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO dalam satu ceramah di Alor Setar pada 19 Mei tahun lalu kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.


Pada sidang akhbar yang dihadiri puluhan wartawan tempatan dan media asing tersebut, bekas Perdana Menteri itu secara berseloroh tidak menafikan penyertaan semula beliau ke dalam UMNO hari ini mirip perkara sama 40 tahun lepas ketika parti itu di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Razak Hussein.


‘‘Satu pakatan kekeluargaan yang tidak sengaja tetapi benarlah, saya dapat masuk balik UMNO dahulu pun kerana Tun Razak yang menerima saya dan kali ini, anaknya yang terima saya.


‘‘Mengenai jawatan (dalam UMNO atau kerajaan), tak payahlah tetapi kalau nak kerjasama, saya bila-bila masa bersedia untuk memulihkan semula parti kerana saya dipercayai oleh rakyat,” katanya.


Serentak itu, Dr. Mahathir menyatakan kesediaannya untuk membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau serta Batang Air.


Ini kerana, kata beliau, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai ahli UMNO untuk terus membantu parti dan BN termasuk berkempen pada pilihan raya walaupun telah bersara.


‘‘Saya tidak suka kalau dah bersara ini, kita pisah diri sama sekali dengan UMNO kerana saya naik pun kerana UMNO.


‘‘Dari dulu pun, saya menawarkan diri untuk berkempen jika diperlukan dan hari ini nampaknya saya diminta untuk berkempen. Saya sudah bersedia kerana ia adalah parti saya,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan meneruskan sikap kritikalnya terhadap UMNO sebagaimana sebelum ini, Dr. Mahathir berkata, sikap demikian berlaku apabila ‘kesilapan dilakukan’.


‘‘Jika tidak, saya rasa tidak perlu jadi kritikal dan saya rasa Datuk Seri Najib tidak akan terkeluar dari landasan (corak kepimpinan) yang telah ditetapkan oleh bapanya dan bukan oleh saya,” katanya.


Saya hairan bagaimana nombor keahliaan UMNO Dr. Mahathir kekal nombor 001 sedangkan beliau hendaklah dilayan sebagai ahli UMNO yang baru masuk UMNO mulai 4 April 2009 dan bukannya melanjutkan keahliaan pada tahun 1988.


Dr. Mahathir kata tujuannya menegur UMNO untuk membina UMNO dan bukannya untuk menghancurkan UMNO. Adakah beliau sedar dengan tindakannya mengkritik kepimpinan Pak Lah telah menyebabkan BN hilang lima negeri pada pilihan raya umum 2008?


Oleh itu Dr. Mahathir perlu menebus dosanya dengan mengembalikan semula empat negeri yang kalah ke tangan BN pada pilihanraya umum akan datang. Dapatkah Dr. Mahathir membawa keajaiban kepada keputusan pilihanraya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai pada hari Selasa ini? Sama-samalah kita tunggu.