Selasa, Februari 10, 2009

PEMUDA DESAK TARIK GELARAN DATUK SERI


Pergerakan Pemuda UMNO semalam sekali lagi mendesak agar gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ditarik balik kerana menderhaka kepada Sultan Perak.


Sayap kanan itu juga menggesa tindakan sama diambil ke atas Pengerusi DAP Perak yang juga bekas Exco Kanan kerajaan pakatan pembangkang sebelum ini, Datuk Ngeh Koo Ham.


Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan menarik balik gelaran Datuk Seri dan Datuk yang dikurniakan oleh Sultan Perak kepada kedua-dua pemimpin pembangkang itu adalah wajar kerana mereka telah menderhaka kepada baginda.


‘‘Kita minta pihak istana mengkaji semula penarikan pingat atau gelaran yang diberi kepada Mohammad Nizar dan Koo Ham kerana menderhaka kepada Sultan.


‘‘Kita juga minta kedua-dua penderhaka ini dibuang daripada kerajaan negeri Perak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan mempertahankan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Padang Sultan Abdul Jalil di sini semalam