Selasa, Februari 24, 2009

KHAIRY TETAP BERSAMA UMNO WALAUPUN KALAH


Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tetap akan memberi sokongan kepada sayap parti itu walaupun ditakdirkan gagal dalam pemilihan parti Mac ini.

Beliau berkata, perkara itu antara persetujuan dan kesepakatan yang dicapai dalam pertemuannya dengan dua calon Ketua Pemuda yang lain, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo baru-baru ini.

''Kita sudah sepakat sesiapa yang memenangi jawatan Pemuda UMNO wajar diberikan sokongan penuh oleh semua ahli untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa ribut yang membabitkan 78 buah keluarga dari beberapa buah kampung dan kawasan perumahan iaitu Kampung Titian Akar, Kampung Sungai Radin, Kampung Sungai Timun dan Rumah Rakyat Kampung Lubuk Cina di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr. Awaluddin Mohd. Said.

Kejadian ribut yang berlaku kira-kira 25 minit pukul 6.30 petang semalam merosakkan kebanyakan bumbung kediaman penduduk di kawasan itu termasuk sebuah surau di Kampung Sungai Radin.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, beliau berkata, kesepakatan juga dicapai dalam menggerakkan jentera bagi menghadapi kedua-dua pilihan raya kecil itu.

Katanya, usaha berkenaan sudah mula dilaksanakan dan ia tidak akan mengambil kira siapa yang bakal memenangi jawatan dalam pemilihan itu nanti.

"Semua calon pergerakan sudah sepakat dan berazam untuk bekerjasama menggerakkan jentera bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional,'' katanya.