Jumaat, Februari 27, 2009

KHAIRY CABAR KARPAL KEMUKA BUKTI


Pemuda Umno semalam mengecam dan mengutuk tuduhan tanpa bukti Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa pergerakan itu menghantar dua peluru bertujuan mengugutnya serta memberi tempoh 24 jam untuk peguam itu membuktikan dakwaannya.

Sambil menyifatkan perkara itu tuduhan liar, gila dan berniat jahat, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencabar Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mengemukakan bukti.

"Karpal penakut kerana membuat kenyataan itu dengan berselindung di sebalik kekebalan dalam Dewan Rakyat. Tuduhan itu berat serta mencabar maruah dan integriti Pemuda Umno, sekali gus membangkitkan kemarahan 700,000 ahli dari seluruh negara.

"Jika beliau gagal menunjukkan bukti dalam tempoh 24 jam, secara automatik rakyat boleh membuat kesimpulan Karpal penipu yang ketandusan modal dan hilang kredibiliti serta kewarasan.

"Kami memintanya memohon maaf kerana manusia seperti beliau tidak reti (faham) makna taubat dan mengaku salah," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen semalam. Hadir sama lebih 30 ahli Pemuda Umno seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah.