Jumaat, Februari 27, 2009

BERANINYA IR. ZIN


Beberapa wakil rakyat malahan seorang timbalan menteri terkejut dengan pengumuman kenaikan kadar tol di lima lebuh raya bermula 1 Mac ini.

Dr. Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini tidak wajar.

"Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini," katanya.

Kerajaan semalam mengumumkan kadar tol di Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang- Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) akan dinaikkan akan dinaikkan antara 0.68 sen dan 50 sen.

Puad berkata kerajaan seharusnya menangguhkan dahulu kenaikan kadar tol ini sehingga mini bajet dibentangkan pada 10 Mac ini.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) tidak menafikan merasai bebanan kenaikan tol biarpun memahami akan perjanjian yang dibuat kerajaan bersama syarikat konsesi lebuh raya.

"Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," katanya.

Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, berkata beliau faham terdapat perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi yang mengizinkan kenaikan tol dibuat.

"Dalam perjanjian memang ada kenaikan tol oleh pengusaha tol, memang susah kerajaan nak elak. Kalau boleh kerajaan kaji dengan teliti supaya perkara ini tidak membebankan rakyat," katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong turut melahirkan rasa terkilan dengan pengumuman kenaikan itu dan meminta kerajaan menelitinya semula.

"Kita masih ada mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, saya harap perkara ini dikaji semula bagi meringankan beban pengguna jalan," katanya.

Wee turut merayu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan yang akan membentangkan mini bajet pada 10 Mac ini agar memikirkan semula kenaikan kadar tol itu.

Bercakap tentang tol, beraninya Menteri Kerjaraya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed membuat keputusan menjelang pemilihan UMNO Mac depan. Risikonya mungkin beliau mendapat undi yang kurang jika para perwakilan marah dengan kenaikan tol tersebut.

Walaupun beliau mendapat pencalonan kedua tertinggi dengan 143 pencalonan, tetapi belum tentu beliau dapat undi yang selesa di kalangan 25 orang pemenang kelak. Biasanya menteri buat pengumuman begini selepas pemilihan UMNO Mac depan, tetapi Ir. Zin ternyata seorang menteri yang berani.