Jumaat, Januari 16, 2009

JEJAK KAKI DI KUALA TERENGGANU


Setelah sekian lama mahu menjejakkan kaki ke Kuala Terengganu, akhirnya hari ini jam 11 pagi saya tiba di Kuala Terengganu, hari terakhir berkempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Saya turun dari bas di Kuala Ibai dan temui kawan saya, Zaini seorang kontraktor yang berasal dari Beruas, Perak yang sudah lama menetap di situ. Zaini sedang menerima panggilan dari Ketua UMNO Bahagian Beruas, Abd Manaf Hashim yang baru sampai dengan rombongannya dari Perak.

Ketika itu Zaini baru hadiri majlis Hishamuddin Hussein Onn yang bermesra dengan orang kampung Kuala Ibai. Saya sms seorang lagi kawan saya, Haji Mohamad Ali tetapi dia tidak jawab sms saya. Maka saya ikut Zaini pergi temui rombongan dari Beruas di markas Taman Purnama.

Abdul Manaf, baru saja menang dalam pertandingan ketua bahagian mengalahkan ADUN BN, Datuk Hamdi Abu Bakar. Hamdi sudah enam penggal jadi ketua bahagian tetapi Abd Manaf yang dua penggal jadi naib ketua bahagian berjaya menewaskan Hamdi. Orangnya baru 52 tahun dan pernah sekolah di MCKK bersama TCS, Haji Talha Ali. Bahagian Beruas mencalonkan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib untuk jawatan timbalan presiden UMNO.

Kami pergi ke Kuala Ibai carikan rumah sewa untuk rombongan dari Beruas, Perak itu. Selepas itu Zaini ajak saya ke rumahnya dan kami solat jumaat di masjid Kg. Kolam, masjid PAS. Kebetulan Haji Hadi yang berkhutbah hari ini. Tetapi khutbahnya tidak semangat.
Di masjid itu saya terserempak dengan calon ketua pemuda UMNO kemaman, Kamaruddin Ali dan bekas ahli jawatankuasa bahagian Marang, Rozi. Mereka turut solat di situ. Dia tanya saya kenapa solat di situ. Saya jawab sebagai wartawan saya mahu dengar khutbah apa yang disampaikan oleh khatib menjelang pilihan raya esok. Rupa-rupanya khutbah di masjid PAS itu tidak bersemangat.

Selepas itu saya dihantar oleh Zaini ke Chendering rumah kawan saya, Othaman Ibrahim. Dengan Othaman kami ke pusat media di bandar. Selepas itu kami ke Hotel Primula menemui Syed Husin Al Atas bersama Roslan Bian dan Kapten Nuhairi. Di meja sebelah kelihatan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Abd Manaf Hashim dengan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajudin Rahman.

Sepanjang perbualan sudah tentu keputusan pilihan raya kecil esok yang jadi tumpuan. Ramai yang berpendapat BN masih jauh ditinggalkan oleh PAS dan malam akhir inilah jika ada peluru akhir yang boleh menyebabkan calon BN, Datuk Wan Farid Wan salleh menang. Ada blog meramalkan beliau menang dengan majoriti 3,000 undi lebih. Bagi saya, siapa yang menang, dia akan menang dengan majoriti yang tipis.