Lembaga Disiplin UMNO melalui khidmat pemantau yang diwujudkan telah berjaya mengenal pasti calon-calon yang menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan politik wang sepanjang tempoh pemilihan parti yang berlangsung sejak bulan lalu.
Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, calon-calon yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden didapati menggunakan khidmat pengurus, perayu dan pelobi atau 3P untuk mendapatkan pencalonan.
Beliau mengingatkan bahawa mereka yang didapati bersalah kerana terlibat dengan amalan itu akan hilang hak untuk bertanding atau kemenangan mereka dibatalkan.
''Pihak kami kini dalam proses menganalisis dan menyiasat secara serius serta terperinci untuk mengumpulkan segala bahan bukti bersama saksi bagi membolehkan tindakan tegas diambil tanpa mengira sesiapa pun.
''Saya selaku Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO berasa amat terpanggil untuk menyatakan perasaan saya yang amat sedih dan kecewa tentang gejala amalan politik wang yang berlaku dalam tempoh pemilihan parti kali ini,'' katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.
Pemilihan di peringkat 191 bahagian UMNO di seluruh negara telah bermula sejak 9 Oktober lalu dan dijadualkan berakhir Ahad ini.
Jumaat lalu, Majlis Tertinggi (MT) memberi amaran kepada ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan UMNO yang berada di hotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau dan dikenakan tindakan.
Sementara itu, Tengku Ahmad Rithauddeen turut mengeluarkan amaran tegas supaya baki 49 bahagian yang akan bersidang pada minggu terakhir ini agar menghentikan amalan politik wang.
Katanya, amalan tersebut bukan sahaja perbuatan yang tidak baik tetapi merupakan perbuatan terkutuk.
Bagi saya, tak salah calon ada 3P tetapi yang salah bila 3P hulur wang. 3P hulur wang kerana ketua bahagian atau wakil bahagian yang minta wang. Siapa antara tiga calon timbalan presiden yang main wang ini? Adakah Muhyiddin? Ali atau Muhammad?
Siapa pula calon naib presiden yang main wang antara enam orang ini. Adakah Hishamuddin, Khaled, Dr. zahid, Isa, Syed Hamid dan Shafie Afdal? Kalau semua calon main wang, maka kosonglah jawatan timbalan presiden atau naib presiden.