UMNO Bahagian Kepala Batas dan Pekan yang dijadualkan bersidang hujung minggu ini tidak akan membuat sebarang pencalonan untuk pemilihan parti Mac depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kedua-dua bahagian tersebut telah mengemukakan permohonan agar dikecualikan daripada membuat pencalonan.
Katanya, permohonan itu juga telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT).
“Perlembagaan UMNO tidak menghalang bahagian yang diketuai oleh Presiden dan Timbalan Presiden daripada membuat pencalonan.
“Bagaimanapun, kedua dua bahagian itu sudah mengemukakan permohonan supaya diberi pengecualian dan ia telah diluluskan oleh MT,” katanya .
Sudah wajarlah Kepala Batas dan Pekan tidak membuat pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden supaya orang ramai tidak salah tafsir siapa yang disokong Pak Lah dan Najib bagi jawatan timbalan presiden.
Jika Pekan mencalonkan Muhyiddin tetapi Kepala Batas mencalonkan Ali, ia akan menimbulkan kekeliruan. Oleh itu lebih baik kedua-dua bahagian ini berkecuali.
Begitu juga bagi pencalonan Naib Presiden yang boeh menimbulkan tafsiran yang bermacam-macam. Pencalonan bagi Ketua Pemuda pun sudah menimbulkan kekeliruan apabila Pekan mencalonkan Mukhriz tetapi Kepala Batas mencalonkan Khairy Jamaluddin.
Kononnya Najib mahu Mukhriz jadi ketua pemuda yang baru manakala bahagian Semberong yang diketuai oleh Hishamuddin mencalonkan Khairy turut menimbulkan tafsiran. Oleh yang demikian lebih baik Kepala Batas dan Pekan berkecuali supaya ia tidak menimbulkan sebarang tafsiran yang negatif.