Rabu, November 05, 2008

HISHAMUDDIN PANDANG KE DEPAN


Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein berkata tidak salah sekiranya ramai calon bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan asalkan apa jua keputusan nanti tidak menjejaskan hubungan sesama ahli.


“Biarlah 100 orang pun bertanding, tidak salah asalkan mereka layak dan itu yang ditentukan perwakilan dan kita tidak boleh sekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kualiti Kementerian Pelajaran di Putrajaya semalam.


Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran, diminta mengulas mengenai kemungkinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapat pencalonan yang cukup untuk layak bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudahpun layak.


Untuk layak bertanding jawatan itu, seseorang itu perlu mendapat sekurang-kurangnya 39 pencalonan daripada bahagian Umno. Sehingga semalam, Mohd Ali memperoleh 32 pencalonan dan Muhammad 30 manakala Muhyiddin mendapat 79 pencalonan. Sebanyak 49 lagi bahagian belum bermesyuarat.


Hishamuddin lebih suka jawatan nombor dua ditandingi kerana sepupunya, Najib sudah menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO. Hishamuddin suka Muhyiddin dicabar kerana jika Muhyiddin menang tanpa bertanding, ia akan menggugat kedudukan sepupunya pada pemilihan 2012.


Pada tahun 1981, keretakan dalam UMNO mula timbul bila Ku Li dan Musa Hitam dibiarkan bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden. Ia berlanjutan pada tahun 1984 apabila Musa-Ku Li berentap buat pusingan kedua.


Jika pertandingan Muhyiddin-Ali-Muhammad dibenarkan pada tahun ini, tidak mustahil pada tahun 2012, pertandingan pusingan kedua antara mereka akan berlaku. Oleh itu adakah pertandingan seperti ini wajar?


Ia wajar jika ia mahu para perwakilan memilih antara mereka bertiga. Tetapi yang tak wajar jika dua orang yang kalah pada tahun 2009 membalas dendam pada tahun 2012 yang mana akhirnya UMNO akan lemah dengan pertandingan yang berterusan seperti ini.


Atau mungkin Hishamuddin yang akan menang sebagai Naib Presiden nombor 1 pada tahun 2009 sudah berkira untuk melanggar siapa yang menang sebagai nombor dua pada tahun 2009 pada tahun 2012?


Kerana sudah jelas kepada kita selepas Najib jadi PM, PM seterusnya adalah Hishamuddin dan bukannya pemenang nombor dua pada tahun 2009 (sama ada Muhyiddin atau Ali atau Muhammad). Jadi Hishamuddin lebih suka jawatan nombor dua dicabar seberapa ramai yang boleh.