Selasa, September 30, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


Pagi ini, Selasa, 30 September, tepat jam 9.50 pagi, Pemangku Pengarah Unit Komunikasi (UNIKOM), Ruslan Abdul Rahman telah menelefon saya membetulkan fakta dalam blog ini. Dia kata majlis buka puasa di Hotel Primula minggu lepas bukannya anjuran KAWAT tetapi anjuran UNIKOM.

Terima kasih kepada Ruslan yang membetulkan fakta itu. Ruslan kini adalah Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Nerus. Dia tidak ada rezeki jadi calon sedangkan dia paling lama jadi Setiausaha Akhbar MB di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Mungkin DUN Tepoh akan datang mencalonkan beliau kerana Ustaz Ramli Nuh sudah dua penggal jadi ADUN Tepoh. Juga saya rasa Menteri Besar baru, Datuk Ahmad Said sepatutnya menaikkan pangkat sebagai Pengarah UNIKOM. Sudah lama beliau di situ masih jadi Pemangku Pengarah sahaja.

Saya ucapkan terima kasih kepada kawan-kawan yang sudi menghantar ucapan selamat hari raya seperti Haji Mohamad Abdullah, bekas pegawai YPK yang kini jadi usahawan kereta second-hand di Padang Midin, Kuala Terengganu. Begitu juga Wan Jasni, Pemeriksa Kira Kira UMNO bahagian Kemaman yang menghantar sms berbunyi, “Ramadhan berakhir menguji keimanan, Aidilfitri disambut penuh keinsafan, sejahtera bahagia di hari lebaran, menyambutnya dengan kemenangan, salam kemaafan dari Wan Jasni sekeluarga”.

Juga tak lupa kepada bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak yang turut mengirim sms kepada saya mengucapkan selamat hari raya kepada saya. Setiap tahun beliau tidak pernah lupa bertanya khabar kepada saya. Saya doakan beliau menang dalam pertandingan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud dan juga menang Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Datuk Salleh tidak bertanding kerana memberi laluan kepada Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Abdul Rahman Dahlan menjadi Ahli Parlimen Kota Bleud walaupun beliau adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tuaran.

Rahman akan menentang kawan saya, Aliasgar Haji Basri yang akan mempertahankan kerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran. Aliasgar yakin dia menang walaupun Rahman lebih banyak wang daripadanya.

Di hari baik bulan baik ini saya ambil kesempatan mohon maaf kepada semua kawan-kawan. Ada kawan bila saya puji blognya, dia kata saya ni tak boleh dibuat kawan. Terpulanglah kepada dia. Kalau tak sudi bermaaf-maafan di hari baik, bulan baik ini, apa boleh buat.

Di hari baik ini, saya teringat kepada orang yang istimewa, Fairus yang balik berhari raya di Ipoh, Perak. I miss u very much, Fairus.