Selasa, September 30, 2008

100 PERATUS AJK BARU UMNO KEMAMAN?


Semalam hari Isnin, 29 September, saya masih bekerja walaupun sudah ramai yang bercuti. Kami datang kerja separuh hari sahaja. Lepas itu saya balik ke kampong bersama rakan serumah, Abdul Mubin Ismail. Saya ucapkan terima kasih kepada beliau yang mengajar saya buat blog ini. Sudah lama saya nak ada blog sendiri. Zaharin Sang Kelembai banyak kali nak ajar saya buat blog, tetapi sampai kini tak pernah jadi kenyataan. Mubin balik ke Kuala Terengganu dan saya sampai di Kemaman sahaja.

Selepas berbuka puasa di Mydin Bistro di Chukai Utama, saya dan Mubin lepak di Casa Limbong. Kebetulan terserempak dengan Ketua UMNO Cawangan Dusun Nyior, Razali Wahab atau Pok Ya Tok Bomoh. Pok Ya kata 100 orang akan bertanding ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman pada 18 Oktober ini. Pok Ya tanya saya, “Awak bertanding ke Zabidi?”
Saya jawab belum confirm lagi. Pada tahun 2004, saya kalah 13 undi kepada AJK nombor 20, Tuan Chik Tuan Muda. Saya duduk di tangga di 23 selepas Haji Yahya Mohamad dan Cikgu Najib. Tengoklah keadaan. Kalau saya rasa saya boleh menang, saya akan tanding.

Pada malamnya pula Mat Amin datang ke rumah ajak saya keluar. Turut bersama kami Azman Shah Pengurus Desa Keluarga YPK Geliga. Azman cerita pengalamannya disoal siasat BPR selama dua hari bulan lepas kerana berhubung projek RM40 ribu yang dibuat di situ. Sekurang-kurangya Azman dah ada pengalaman.

Jam 12 datang Ketua UMNO Cawangan Tok Kapor, Izam Hamzah dan bekas AJK Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Yusof Jaafar join kami di restoran Mydin di Chukai Utama itu. Izam sudah confirm tanding AJK Bahagian. Saya berharap beliau menang kerana pengalamannya sebagai bekas pegawai BTN sudah tentu dapat memanfaatkan ahli-ahli UMNO Kemaman. Yusof pula mahu 20 orang AJK Bahagian pada 18 Oktober ini 100 peratus muka baru. Katanya, ahli UMNO sudah bosan dengan semua AJK yang ada kerana nampak sangat mereka gunakan jawatannya itu untuk dapat tender dan projek dan bukannya menggunakan jawatan itu untuk memberi sumbangan idea kepada Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu.

Izam adalah seorang ketua cawangan yang berani. Baru-baru ini cawangannya mencalonkan Tok Penghulu Mat Dalam Awang untuk bertanding Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman. Sayangnya Tpk Penghulu Mat Dalam tak cukup kuota untuk menentang ahli parlimen Kemaman yang juga Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Ketua-ketua cawangan takut diugut maka mereka tidak berani mencalonkan Tok Penghulu Mat Dalam.