Memaparkan catatan dengan label seleweng. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label seleweng. Papar semua catatan

Ahad, Januari 01, 2012

JAMIL NAFI SELEWENG WANG ZAKAT


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.

Beliau berkata wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf itu.

Sambil menyifatkan dakwaan itu dan laporan mengenai kos ubah suai rumahnya di ibu negara yang dikatakan tinggi dan mewah sebagai zalim dan kejam, Jamil Khir berkata berita seumpama itu sepatutnya diselidik terlebih dahulu sebelum disiarkan supaya tidak timbul fitnah dan salah faham rakyat terhadap pemimpin negara dan kerajaan.

Beliau berpendapat laporan itu bertujuan untuk melahirkan persepsi bahawa pihak menteri dan kerajaan selalu melakukan penyelewengan.

"Saya rasa amat tidak wajar seorang Muslim dan saya rasa yang bercakap ini pun banyak Muslim. Dia patut selidik dan kena rasa takut pada fitnah dan pembohongan yang bukan setakat habis di dunia tapi balasannya sampai di akhirat," katanya.

Menurutnya pembangkang banyak memainkan isu melibatkan kerajaan Barisan Nasional untuk dipolitikkan supaya dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu pokok membabitkan pembangkang termasuk qazaf.

Mengulas mengenai isu rumahnya, Jamil Khir berkata pihak berkenaan boleh membuat semakan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menjelaskan rumahnya itu dibeli sejak tahun 1994 sebelum beliau dilantik sebagai menteri dan pembayaran bulanan juga masih dibuat sehingga kini.

"Biasalah kalau ada sedikit penambahbaikan pada rumah itu. Saya dulu mejar jeneral, dua bintang dalam pegawai kerajaan...ada pencen penuh dan tak peliklah saya layak buat pinjaman (perumahan)," katanya.

Beliau juga berkata penjelasan beliau berkaitan dakwaan itu adalah muktamad dan berharap semua pihak memahami keadaan sebenar.

Rabu, Disember 23, 2009

MB BERSUMPAH NAFI BERLAKU PENYELEWENGAN


Sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Rabu dikejutkan dengan lafaz sumpah Menteri Besar Datuk Ahmad Said bagi menafikan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran beliau.

Katanya segala projek yang dilakukan oleh kerajaan adalah mengikut prosedur yang ditetapkan dan semuanya dilakukan adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata.

"Saya merasa sedih apabila ada wakil rakyat mempersoalkan mengenai pemberian kurma dan air zam-zam, malah ada andaian berlaku penyelewengan.

"Dengan nama Allah, bismillahirrahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataallahi...tidak ada penyelewengan, rasuah dalam kes ini atau dalam kes-kes lain. Saya telus. Saya boleh jelaskan hal ini demi kepentingan rakyat," katanya.

Ahmad berkata bahawa bungkusan kurma yang diagihkan kepada rakyat Terengganu dengan kos RM20 adalah berpatutan dan tidak ada sebarang penyelewengan dalam pemberian kontrak pembelian tiga jenis kurma dan air zam-zam itu.

Beliau mengulas mengenai soal pengagihan air zam-zam dan kurma yang dibangkitkan oleh Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) dalam sesi perbahasan bajet semalam.

Sepanjang persidangan sejak tiga hari lepas, antara persoalan yang dibangkitkan ialah mengenai pemberian kontrak melombong bijih besi di Bukit Besi, kontrak pemberian baju sekolah kepada pelajar miskin dan dasar rundingan terus yang dilakukan oleh kerajaan dalam soal pembaikan dan penurapan jalan.

Ahmad berkata, wakil rakyat sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan, tidak seharusnya menggunakan keistimewaan dewan untuk membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadap kerajaan mahupun pegawai kanan beliau yang tidak berpeluang untuk menjawabnya.

"Kalau rasa ada penyelewengan dan rasuah, silakan (bangkitkan) di luar dewan.

"Sebab dalam polisi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jelas, kalau buat tuduhan yang mana terbukti tidak benar, orang (yang dituduh) itu boleh ambil tindakan dan mendakwa orang yang berkenaan kerana fitnah. Jangan guna hak istimewa dewan ini dengan membuat dakwaan bukan-bukan," katanya.

Sebelum itu, Ahmad berkata sektor pelancongan akan dijadikan sebagai sumber ekonomi penting negeri Terengganu pada masa akan datang untuk mengelak kebergantungan kepada hasil royalti minyak daripada kerajaan pusat.

Katanya kerajaan perlu mencari alternatif jangka masa panjang untuk menjana ekonomi negeri itu kerana minyak di perairan Terengganu akan habis pada suatu hari nanti.

"Daripada RM1.888 bilion yang diperuntukkan dalam bajet Terengganu tahun depan, 92 peratus daripadanya diperoleh melalui sumber kerajaan pusat melalui Dana Khas Kerajaan Pusat, yang tidak lama lagi, InsyaAllah akan menjadi wang royalti.

"Untuk itu usaha yang perlu kita lakukan ialah menjana pendapatan negeri pada masa depan melalui sektor pelancongan dan ia akan diletakkan sebagai tulang belakang ekonomi Terengganu," kata Ahmad.

Beliau berkata, untuk itu kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan yang besar untuk membangunkan sektor pelancongan termasuk untuk memajukan Tasik Kenyir.

Katanya, walaupun Tasik Kenyir telah dibuka hampir 30 tahun, namun bilangan pelancongan yang berkunjung ke tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu masih berkurangan.

Ini kerana walaupun mempunyai daya tarikan alam semula jadinya tersendiri, kawasan itu masih kurang tempat-tempat yang menarik untuk dilawati dan kurang kemudahan asas, kata Ahmad.

"Tidak ada pelabur yang ingin datang buka hotel atau resort di situ kerana tidak ramai yang datang, dan kerana itu, kerajaan ingin memajukan Tasik Kenyir," dengan menyediakan program berkunjung ke pulau di tasik itu.

Ahmad berkata 340 buah pulau yang terdapat di Tasik Kenyir mampu memberi pendapatan lumayan untuk sektor pelancongan jika ia dimajukan seperti cadangan kerajaan untuk mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama, Taman Orkid dan Pulau Herba.

Beliau juga menyebut mengenai satu penemuan artifak berusia hampir 10,000 tahun di Gua Bewah di kawasan tasik itu.

Persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.