Memaparkan catatan dengan label minyak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label minyak. Papar semua catatan

Ahad, Mac 13, 2016

RICH HERITAGE LANCAR MINYAK WANGI AZEERTHA

Malam tadi bertempat di Hotel Istana, Kuala Lumpur, tercatat sejarah baru apabila 1,500 orang ahli Rich Heritage Berhad (RH) berkumpul di hotel tersebut  untuk menyaksikan majlis pelancaran RH.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RH, Datuk Azir Abu Samah, RH bukan perniagaan jualan langsung atau MLM tetapi satu revolusi perniagaan bentuk baharu di Malaysia menggunakan platform atas talian (on line).

" Inilah peluang terbaik untuk mereka menjana pendapatan tetapi tidak berani mengambil risiko mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk modal, sewa kedai dan pekerja," katanuya ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, RH diwujudkan bagi memberi peluang kepada usahawan dan bakal usahawan untuk menjalankan perniagaan tanpa perlu menaja, mencari orang, tiada risiko kerugian, tidak membebankan dan modal dikeluarkan hanya sekali.

Ujarnya lagi, RH membuka cawangan di Kuala Lumpur untuk memberi peluang kepada orang ramai menyertai peluang pelaburan perniagaan bagi menjana pendapatan.

"Selepas ini RH bercadang membuka 70 cawangan di seluruh negara sebelum dikembangkan ke Indonesia dan Thailand," tegasnya.

Azir menambah tujuan majlis makan malam itu ialah untuk mengembangkan jenama RH di samping memberitahu bakal pelabur mengenai kaedah perniagaan yang dijalankan oleh RH.

Sehubungan dengan itu, katanya, RH bekerjasama dengan Rich Coco dan Yayasan Al Ummah di mana majlis penyerahan perjanjian kerjasama dengan dua syarikat itu diadakan.

Malam tadi juga menyaksikan pelancaran produk sulung RH iaitu minyak wangi AZEERTHA. Minyak wangi bersaiz 50ml keluaran Bumiputera ini dibungkus di Malaysia dalam bentuk botol menarik dan dijaul pada harga RM96.

"Selepas ini syarikat akan memperkenalkan pelbagai lagi produk yang sesuai dengan minat dan kehendak pelanggan," katanya lagi.

katanya, ejen hanya menjual minyak wangi sedangkan promosi dibuat oleh syraikat.

"Syarikat akan melantik ejen di seluruh negara secara single level dan buat permulaan sebanyak 20,000 botol minyak wangi akan berada di pasaran," jelasnya.

Beliau menyeru ibu tunggal di seluruh negara merebut peluang perniagaan ini yang mana RH melantik Yayasan Al Ummah sebagai penyalur pinjaman kepada bakal ejen RH.

Majlis itu turut diserikan oleh penyanyi Dayang Nurfaizah, Anis Al Idrus, Cherpen dan Falah Bassim. Turut hadir di majlis itu ialah ahli ahli lembaga pengarah RH dan isteri Datuk Azir, Datin Narita Ismail.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang RH, baca blog ini bertarikh 20 Februari lalu, lihat http://catatanzabidi.blogspot.my/2016/02/rich-heritage-sasar-tarik-500000-ahli.html







Jumaat, September 06, 2013

PROF DR AGUS ULAS KENAIKAN MINYAK

Mulai 3 September 2013, harga petrol RON 95 dinaikkan sebanyak 20 sen dan harga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20 sen. PM menyatakan kenaikan harga petrol tersebut adalah untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara. Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara." Saya tidak segera mengulas kenaikan harga minyak tersebut kerana mahu melupakan sementara hal-hal negara untuk memberi tumpuan kepada tugasan akademik yang banyak tertangguh. Namun, apabila kelmarin Timbalan Menteri (TM) Kewangan menyatakan harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria, hati saya segera terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan. Ini kerana jiwa saya menolak pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat. Jika setakat tujuh negara di atas, apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia? Kenapa TM Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata? Bagi membuktikan harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka TM Kewangan pun mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32). Kenapa kita bandingkan dengan negara kita yang tidak ada minyak ata sedikit sumber petroleumnya? Kenapa tidak kita bandingkan dengan harga minyak petrol di Brunei, UAE, Libya, Bahrain, Qatar, Oman dan lainnya yang harga minyak mereka jauh lebih murah daripada negara kita? Inilah yang saya katakan sebagai kenyataan yang menyembunyikan fakta untuk mengelirukan rakyat, jikapun tidak untuk membodohkan rakyat. Untuk pengetahuan TM Kewangan, dalam konteks harga barangan ini, ada aspek yang kita boleh bandingkan dengan negara lain dan ada perkara yang kita tidak boleh bandingkan dengan negara lain. Misalnya, kenapa tidak kita bandingkan harga kereta di Malaysia dengan di Singapura atau Indonesia? Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah—lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen. Itu belum lagi kita bincangkan tentang harga rumah. Dengan kos harga rumah kita yang ‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih yang termurah di dunia? Begitu juga dengan hutang isi rumah rakyat di negara kita. Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang. Kadar hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini. Melihat kepada data hutang isi rumah di atas, apakah kita hendak menyatakan kadar hutang isi rumah rakyat di negara kita adalah antara kelapan terendah di dunia atau harga kereta dan rumah kita juga antara terendah di dunia? Saya berhujah begini untuk menunjukkan saya menolak data tidak masuk akal yang diberikan oleh TM Kewangan kita tentang harga minyak kita yang kelapan termurah di dunia. Saya juga tertarik dengan alasan yang diberikan oleh TM Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BRIM kepada rakyat. Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah." Saya tidak faham kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan kepada rakyat. Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan? Oleh sebab itulah, saya menolak kenyataan TM Kewangan ini sebab hujahnya tidak tepat dan hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara. Jikapun hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang tepat. Begitulah!.. - Prof Madya Dr. Muhammad Agus Yusoff adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan, Dan Penganalisis Politik.

Rabu, Mei 01, 2013

TURUNKAN HARGA MINYAK BOLEH DILAKSANAKAN

Bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menurunkan harga minyak jika Pakatan Rakyat menang pada 5 Mei ini. Ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana kami pernah menghantar proposal kepada kerajaan BN pada tahun 2006 tetapi nampaknya kerajaan BN tidak berminat untuk menurunkan harga minyak. Kawan saya, Burhanuddin (Baha) bin Tan Sri Ibrahim telah mengemukakan cadangan ini kepada Pengerusi Majlis Harga Negara, Tan Sri Kamal Salleh. Kami menemuinya di Bangsar Shopping Village. Walaupun beliau tidak kenali kami, beliau berminat dengan cadangan itu dan mempelawa kami datang ke Pan Pacific pada keesokan malam untuk bentangkan kertas kerja. Ahli jawatankuasa Majlis Harga Negara dianggotai oleh banyak NGO. Ada seorang Datuk yang mengenali saya tertarik dengan cadangan Baha.Dia panggil kami dan suruh Baha sertainya kerana dia tahu ini peluang buat duit.Dia cadang kemukakan kertas ini melalui sebuah syraikat listed. Idea itu akhirnya senyap tetapi kertas kerja itu telah diciplak oleh Datuk tersebut.Kami tidak berputus asa dan jumpa Datuk Seri Shafie Afdal yang menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Kami pergi ke rumahnya tetapi dia suruh datang ke pejabat. Sampai ke sudah kami tak dapat temujanji untuk menemuinya. Selepas itu Datuk Shahir Samad menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Kami dapat menemuinya dan beliau panggil pegawainya. Beliau tertarik dengan cadangan ini dan beliau suruh syarikat lain juga kemukakan kertas cadangan.Lima buah syarikat mengemukakan cadangan teramsuk Maybank. Baha masuk melalui Kumpulan Antah. Antah telah mengemukakan cadangan kepada EPU dan Kementerian Kewangan. Tiba-tiba Pak Lah selaku PM mengisytiharkan kerajaan beri rebat kepada semua pemilik kenderaan sebanyak RM625 yang mahu memperbaharui cukai jalan. Kertas cadangan Baha bertujuan untuk mengurangkan subsidi minyak sebaliknya kerajaan rugi berapa bilion kerana rebat ini. Betapa cerdiknya Pak Lah. Pada 5 April 2009, Najib jadi PM yang baru. Ketika mengemukakan Bajet 2010 pada Oktober 2009, beliau berkata kerajaan akan melaksanakan Sistem Pengurusan Subsidi(tajuk ini pun diciplak dari kertas kerja Baha). Saya terus call Datuk yang bersama kami dalam Majlis Harga Negara dahulu. Saya tanya Datuk itu siapa yang dapat projek tersebut. Dia beritahu Maybank. Ini bermakna kertas cadangan kami telah diciplak oleh Datuk itu dan beliau berpakat dengan Maybank sedangkan kerajaan belum umum lagi siapa yang dapat projek itu. Bila secara rasmi diumumkan Maybank akan melaksanakan Sistem Pengurusan Subsidi, kami buat bantahan kerana Maybank menggunakan Mykad sedangkan sesiapa sahaja boleh gunakan Mykad itu. Kami jumpa Datuk Mukhriz, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa supaya memberitahu Tok Pa. Biar Tok Pa bawa perkara ini dalam kabinet. Akhirnya Ismail Sabry Yaacob membuat pengumuman kerajaan membatalkan sistem itu kerana cadangan Maybank menggunakan Mykad banyak kelemahan. Cadangan kami bukan guna Mykad tetapi ia dapat mengawal semua barangan subsidi seperti minyak, minyak masak, gula, tepung gandum. Malah harga minyak boelh diturunkan sehingga RM1.00 melalui sistem ini. Seperti juga BR1M, kerajaan kena buat dasar bahawa rakyat yang bergaji kurang dari RM3,000 layak mendapat subsidi dengan harga minyak, minyak masak, gula, tepung gandum yang murah. Manakala orang kaya dengan harga pasaran. Usaha kami untuk membentangkan cadangan ini terus kepada Najib tidak pernah jadi kenyataan. Ramai orang berjanji nak bawa Baha jumpa PM tetapi semuanya mahu duit dulu untuk atur temu janji dengan PM sedangkan Baha bersendirian bukannya melalui Kumpulan Antah lagi.Jika ia sampai ke telinga PM, mungkin PM kagum dengan idea ini kerana harga minyak boleh diturunkan sampai RM1.00. Oleh itu jika Pakatan Rakyat menang, kertas kerja ini boleh digunapakai semula kerana ia masih relevan untuk mengawal subsidi. Kerajaan tak perlu mengeluarkan bilion ringgit untuk subsidi lagi. Inilah idea Baha yang orang lain tak nampak.Ketika kerrtas kerja ini pertama kali dibentangkan kepada bekas Setiausaha UMNO Bahagian Tun Razak, Zaharin Mohd Yassin, beliau secara sinis berkata kerajaan BN tidak akan melaksanakan sistem ini kerana ia akan merugikan taukeh gula Robert Kuok. Masakan BN mahu melaksanakan sistem ini kerana kapitalis seperti Robert Kuok yang banyak memberi derma kepada UMNO. Alangkah ruginya jika cadangan yang baik untuk rakyat seperti ini tidak dilaksanakan.

Selasa, Disember 01, 2009

KU LI BELUM BUAT KEPUTUSAN KETUAI KAUKUS


Bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian,Tengku Razaleigh Hamzah berkata keputusan sama ada beliau akan mengetuai kaukus mengenai royalti minyak Kelantan akan hanya diputuskan sekiranya kaukus itu mempunyai perwakilan seimbang daripada semua parti.

Tengku Razaleigh yang terbabit sejak awal penubuhan Petronas berkata, beliau tidak terdesak untuk membuat keputusan tersebut, tetapi mengharapkan kaukus itu diwakili oleh semua anggota parlimen dari negeri-negeri yang mengeluarkan hasil petroleum.

"Saya nak tengok supaya perwakilan (yang sertai kaukus) lebih menyeluruh. Kalau boleh. Itu yang saya nak sebelum saya bagi kata putus. Saya nak tengok supaya ia tidak ada kaitan dengan politik.

"Saya mahu lihat perwakilan yang seimbang daripada semua anggota Parlimen dari semua negeri khususnya daripada negeri yang mengeluarkan petroleum. Kemudian baru adakan kaukus. Tiada keperluan segera," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai keputusannya berhubung pelawaan untuk mengetuai kaukus tersebut di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Tengku Razaleigh sebelum ini dilaporkan berkata sedang menimbang pelawaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantiknya menjadi pengerusi kaukus, namun beberapa hari selepas itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mahu beliau (Razaleigh) meneliti semasak-masaknya sebelum bersetuju mengetuai kaukus petroleum yang ingin dibentuk oleh pakatan pembangkang itu.

Menurut Muhyiddin pada dasarnya Barisan Nasional (BN) tidak terlibat dengan perkara-perkara sedemikian kerana terikat dengan prinsip parti.

Katanya, lebih baik Tengku Razaleigh teliti semasak-masaknya permintaan tersebut walaupun ia melibatkan negeri Kelantan, apatah lagi ia ditaja oleh parti pembangkang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengusahakannya.

Mengenai saranan tersebut Tengku Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang berkata, soal tersebut tidak timbul sebenarnya kerana sebelum ini pernah wujud jawatankuasa di mana parti pemerintah dan pembangkang bersama-sama menubuhkan jawatankuasa bersama demi kepentingan rakyat.

"Soal fikir masak-masak tidak timbul. Sebelum ini sudah ada jawatankuasa, gabungan antara kerajaan dan pembangkang. Jadi tidak timbul isu kerajaan boleh duduk dalam jawatankuasa yang ditubuhkan pembangkang ataupun tidak. Jadi itu bukan isu, yang penting ialah kepentingan rakyat itu kita dahulukan," katanya.

Ketika ditanya pendiriannya berhubung bayaran wang yang diumumkan kerajaan kepada Kelantan yang sepatutnya royalti bukannya wang ihsan, Tengku Razaleigh berkata, perkataan wang ihsan tidak pernah ada dalam perjanjian, sebaliknya ia dipanggil bayaran tunai.