Memaparkan catatan dengan label jkm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jkm. Papar semua catatan

Selasa, Mac 19, 2019

11 DARIPADA 211 PENGHUNI PUSAT TAHFIZ AMAL ANAK YATIM



SUNGAI PETANI, 18 Mac (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini menutup sebuah pusat tahfiz amal di sini yang dipercayai menggunakan kanak-kanak untuk mengutip derma.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang JKM Putrajaya Ahmad Rashid berkata tindakan lak atau mengunci premis itu mengikut Seksyen 16 A Akta Pusat Jagaan 1993.

Katanya seramai 60 anggota penguat kuasa termasuk daripada Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah (JHEIK), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam operasi yang bermula pada 10.30 pagi tadi.

“Premis ini kita dapati telah dikosongkan lebih awal dan memudahkan kita untuk mengunci dan pihak pengusaha akan dibawa ke mahkamah selepas ini untuk pertuduhan.

"Bagaimanapun, kita beri peluang 21 hari untuk mereka kemuka semua dokumen yang membolehkan pusat ini didaftarkan. Jika gagal tindakan undang-undang akan diteruskan," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Ahmad berkata pihaknya akan terus memantau pusat-pusat tahfiz di seluruh negara dan tindakan sama akan dikenakan jika mana-mana pusat beroperasi tanpa mendapat perakuan pendaftaran daripada JKM.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata pusat tahfiz amal itu diarahkan ditutup kerana beroperasi tanpa kebenaran selain dipercayai memperguna kanak-kanak untuk mengutip derma.

Dr Ismail juga dilaporkan berkata hanya 11 daripada 211 penghuni pusat itu merupakan anak yatim.

-- BERNAMA

Sabtu, Februari 10, 2018

JKM PERLU SAHKAN ANAK ANGKAT UNTUK MUDAHKAN PERSEKOLAHAN

KUALA BERANG, 9 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan menasihatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pengesahan terhadap anak jalanan yang dijadikan anak angkat di institusi kebajikan itu bagi memudahkan proses pendaftaran kemasukan ke sekolah.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah itu bagi memastikan kanak-kanak berkenaan mempunyai dokumen yang disahkan sebelum mereka dibenarkan bersekolah.

Katanya proses sama turut perlu dilakukan oleh mana-mana ibu bapa yang memelihara anak angkat warga asing supaya mereka mendapat pendidikan sewajarnya seperti kanak-kanak lain.

"JKM perlu membuat satu deklarasi yang menyatakan atau mengesahkan kanak-kanak itu dijumpai di mana dan berapa lama dipelihara oleh JKM. Serupa juga ibu bapa angkat...dia kena ada ikatan perundangan daripada JKM atau pihak mahkamah bagi menyatakan kanak-kanak itu adalah anak angkat yang dipelihara secara sah dan mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu di sini hari ini.