Memaparkan catatan dengan label dr zakir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dr zakir. Papar semua catatan

Khamis, Mac 09, 2017

KENAPA SITI TAKUT BERDEBAT DENGAN DR ZAKIR?



HAIRANLAH! setahu ‘kita semua’ Siti Kasim seorang pendebat yang handal, tegar



Siti Kasim


Aktivis LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) ini bukannya ‘sembarangan’ orang yang boleh dikalahkan.

Kalau bab mencelah atau ‘bersilat’ dengan orang yang dipertikaikannya, Siti Kasimlah orang­nya. Dialah dalam mana-mana forum atau wacana yang nombor satu akan ke depan.


Cuba google di YouTube sekitar September tahun lalu bagaimana dia mengejutkan ramai orang dalam sesi dialog wacana rang undang-undang Mahkamah Syariah di Shah Alam - menunjukkan jari tengahnya (f**k) kepada hadirin.

Siti Kasim atau nama penuhnya Siti Zabedah Kasim mengatakan kononnya tanda f**k itu ditujukan khas untuk ‘Islamis jahat’ dan ‘si bodoh yang dicuci otak’ yang hadir memenuhi ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi.


Zakir Naik


Tanpa sesalan, Siti Kasim ini mendakwa pula Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, salah seorang pembahas di wacana itu mengelirukan penonton semasa menjelaskan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

RUU355 ini akan dikaitkan seberapa yang boleh olehnya ‘ada kena mengena dengan hudud’. Mengapa terlalu takut benar Siti Kasim ini dengan perkataan ‘hudud’?

Itu isu tahun lepas. Tetapi sekarang mengapa Siti Kasim menikus pula untuk berdepan dengan pakar perbandingan agama, Dr. Zakir Naik.

Yang tambah hairannya lagi, boleh pula Siti Kasim menganggap cabaran yang dilontarkan oleh Zakir sebagai ‘bodoh dan buang masa’ sahaja.

Umat Islam di negara ini yakin Siti Kasim pasti sudah menonton, meneliti dan menilai ceramah, kuliah atau tazkirah yang disampaikan Zakir.

Barangkali dia sudah terfikir individu yang akan didepaninya itu bukanlah calang-calang orang.

Setakat untuk Tokoh Maal Hijrah 1435H/2013M itu berhujah dengan Siti Kasim, rasanya tidak mampulah pula penulis mahu huraikannya.

Zakir mampu memberikan jawapan yang baik dengan penilaian yang kritis. Pandangan dan jawapannya menggunakan al-Quran, hadis, bersama fakta saintifik serta input-input berkaitan daripada kitab-kitab agama lain sebagai tambahan.

Lulusan MBBS (Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery) dari University of Mumbai itu tidak pernah mengajar sesiapa untuk menghina agama lain. Atau menggunakan perkataan kasar ketika menyampaikan ceramah.

Siti Kasim oh Siti Kasim. Ja­nganlah takut dengan bayang-ba­yang sendiri.

Atau adakah kamu rasa resah gelisah dengan bayang-bayang Islam?

(dipetik dari Utusan Malaysia)

Rabu, April 20, 2016

DR ZAKIR SETUJU UMNO DAN PAS BENTUK KERAJAAN CAMPURAN

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kerajaan campuran UMNO dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam, kata pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik.

Katanya beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti politik berkenaan membentuk kerajaan campuran.

"Saya bukan hendak memberitahu kedua-dua parti (UMNO dan PAS) perlu menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian, Alhamdulillah...(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan identiti masing-masing.

"Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan untuk orang Islam," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam rakaman program bual bicara TV Al Hijrah, 'Persepsi', di sini, hari ini.

Dr Zakir Naik, yang kini menjelajah Malaysia bagi menyampai syarahan agama, dituduh oleh pihak tertentu kononnya ceramah beliau boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menyentuh sensitiviti agama lain.

Sejak beberapa hari lepas, beliau telah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dr Zakir Naik, dari India, berkata beliau percaya kedua-dua pemimpin parti itu bersedia bekerjasama membentuk kerajaan campuran, dan jika perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk Islam.

Bagaimanapun, katanya mungkin ada beberapa pihak di negara ini yang tidak bersetuju dengan pendapatnya dan tidak mahu melihat UMNO dan PAS membentuk kerajaan campuran.

Dr Zakir Naik juga mencadangkan supaya lebih banyak program diadakan di negara ini bagi menjelaskan mengenai Islam kepada orang bukan Islam serta menghapuskan sebarang salah faham mereka tentang Islam.

Menurutnya pada pertemuan dengan Najib, beliau telah memaklumkan mengenai Persidangan Dunia Islam Dalam Bahasa Inggeris yang diadakan di Mumbai, India, baru-baru ini, dan perdana menteri bertanya sama ada persidangan itu boleh diadakan di Malaysia.

-- BERNAMA