Memaparkan catatan dengan label clare rewcastle brown. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label clare rewcastle brown. Papar semua catatan
Rabu, Mac 06, 2019
CLARE TERBABIT DALAM PENGUBAHAN WANG HARAM?
KUALA LUMPUR 5 Mac – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram kerana tidak mengisytiharkan sumber sebenar RM1.4 juta diterimanya.
Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanah Airku, Reggie Jessy Rithaudeen turut mendakwa pengarang portal berita itu berbohong dengan menyatakan wang itu adalah kos yang dipersetujui selepas penyelesaian kes di luar mahkamah dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedangkan dokumen rasmi itu menyatakan penyelesaian berkenaan tidak membabitkan sebarang kos.
“Malah, hasil dapatan kita mendapati RM1.4 juta itu dibayar oleh seorang individu yang baru dilantik ke jawatan tertinggi di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi akaun pihak kedua. Clare menipu dengan mengatakan wang itu adalah hasil pembayaran penyelesaian kes antaranya dengan Abdul Hadi,’’ katanya selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor hari ini.
Tambah Reggie, wang berkenaan pula dibayar menggunakan akaun bank tempatan dan masuk ke akaun bank Clare di United Kingdom (UK).
Mengikut peruntukan undang-undang, Reggie mendakwa Clare perlu mengisytihar sumber kewangan berkenaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan kepada bank pusat di UK.
“Namun, Clare tidak berbuat demikian dan melanggar peruntukan undang-undang sekali gus menimbulkan konspirasi pengubahan wang haram. Jadi, kita minta polis menyiasat Clare serta beberapa pihak termasuk seorang peguam di negara ini, seorang pengurus bank tempatan terletak di Jalan Tun Razak, individu berjawatan tinggi di KTMB dan BNM,” katanya.
Mengulas lanjut, Reggie mendakwa, RM1.4 juta diterima Clare itu sebenarnya dibayar oleh individu itu bagi membiayai kos guaman kes mahkamah antara pengarang portal berita berkenaan dengan Abdul Hadi.
Rabu, November 21, 2018
SULTANAH TERENGGANU SAMAN CLARE REWCASTLE BROWN RM300 JUTA
PETALING JAYA - Sultanah Terengganu memfailkan saman fitnah RM300 juta terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi kerana mengaitkan Sultanah Nur Zahirah dengan skandal 1MDB serta ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho dalam bukunya.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Mohd Haaziq Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah ketika sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Rewcastle-Brown menerusi bukunya bertajuk ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ mendakwa Sultanah Nur Zahirah terbabit dalam penubuhan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) yang menjadi pelopor 1MDB.
“Selepas melalui beberapa perbincangan hampir dua bulan, tiada persetujuan dicapai untuk penyelesaian. Kami ada mendapat tawaran penyelesaian bagaimanapun tidak mengikut terma yang dikemukakan.
“Kami kemudiannya mendapat titah daripada Istana malam tadi untuk meneruskan saman fitnah terhadap ketiga-tiga pihak. Oleh itu kami memfailkan saman fitnah itu melalui sistem e-pemfailan pada 2 petang sebentar tadi,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Haaziq berkata, butiran berhubung saman itu tidak dapat didedahkan kepada umum.
“Semua butiran akan didedahkan apabila disebut di mahkamah kelak,” katanya.
Pengurusan kes ditetapkan pada 19 Disember ini di hadapan Timbalan Pendaftar K Pavani.
Sultanah Nur Zahirah sebagai plaintif menamakan Clare, penerbit tempatan Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan.
Mohd Haaziq berkata, saman itu difailkan untuk membersihkan nama dan reputasi Sultanah Nur Zahirah dan saman tersebut akan diserahkan oleh pihaknya kepada pihak defendan secepat mungkin.
Peguam itu turut menyentuh tentang kandungan pada muka surat tiga buku tersebut di mana kandungan buku The Sarawak Report edisi pertama dan kedua didapati berbeza.
“Kami hanya memberi tumpuan kepada muka surat tiga buku itu yang mempunyai kenyataan bersifat fitnah.
“Buku edisi pertama menyatakan ia membabitkan Sultanah Nur Zahirah manakala edisi kedua pula menyatakan ia membabitkan adinda Sultan Terengganu. Pihak kami akan mengemukakan perkara ini di mahkamah nanti,” katanya.
Pada 29 September lalu, surat tuntutan sudah dikemukakan terhadap ketiga-tiga pihak itu.
Ia bagi tuntutan ganti rugi RM100 juta daripada setiap pihak, permohonan maaf, penarikan balik yang jelas secara bertulis dan didedahkan kepada awam perlu dibuat.
Clare didakwa membuat kenyataan memfitnah di dalam buku The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose yang mengaitkan Sultanah Terengganu dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho serta skandal 1MDB.
Buku itu didakwa menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1MDB oleh Clare yang dilancarkan pada 8 September lalu.
Pada 14 September lalu, Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu berkata kenyataan dalam buku “The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose” yang mengaitkan Sultanah Terengganu dalam isu berkenaan adalah tidak benar sama sekali.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya kenyataan di muka surat tiga buku itu yang menyebut “Jho was also friendly with a key player in Terengganu, the wife of the Sultan, whose acquiescence was needed to set up the fund and he later cited her support as having been crucial to his obtaining the advisory position.”
Susulan itu, Rewcastle-Brown sebelum ini membuat permohonan maaf pada 28 September sambil menyebut tulisan buku itu dibuat berdasarkan kenyataan Jho Low yang selalu bermegah kerana sering bersosial dengan keluarga diraja termasuk dalam mendapatkan jawatan dalam TIA.
Langgan:
Catatan (Atom)

