Sabtu, Ogos 27, 2022

30 TAHUN BERPISAH DENGAN PAK HARIS RIBUT

Saya balik ke kumpulan Karangkraf pada bulan Jun tahun 1991 dari Kota Kinabalu. Masa itu Pak Haris sudah berhenti sebagai penyunting Akhbar Watan. Saya balik ke Akhbar Watan sebagai Penolong Editor.

Pada tahun 1992 saya ditukarkan ke bahagian iklan. Saya berhenti kerana saya seorang wartawan dan bukannya orang marketing.

Baru-baru ini saya terbaca adik Pak Haris, Aloy sakit dalam group WhatsApp Kelab Alumni Karangkraf. Saya terus WhatsApp Aloy bertanyakan no telefon Pak Haris.

Petang ini jam 2.45ptg saya jumpa Pak Haris di Paradigm Mall Kelana Jaya.

Sudah 30 tahun kami terpisah. 

Pelik saya duduk di Semenyih dan Pak Haris di Shah Alam tapi kami tak pernah bertemu. Hari ini Allah temukan kami berdua.

Banyak cerita lama kami imbas kembali semasa minum di sebuah restoran di situ. Kali terakhir saya temui Pak Haris di pejabatnya Laser Skill di Jalan Imbi KL. 

Sempat saya meminta Pak Haris terbitkan buku kawan saya Dr Agus Mohamad Yusuf, Pensyarah UKM. Saya selalu lepak di pejabat Laser Skill di Jalan Imbi kerana saya tiada pekerjaan tetap selepas berhenti dari Akhbar Watan.

Saya dapat tahu Pak Haris jadi pelukis Perempuan Gemuk dan banyak disiarkan didalam akhbar tempatan.

Tak sangka Pak Haris bertukar profession dari sub editor kepada pelukis sepenuh masa.

Pak Haris terkenal di peringkat antarabangsa kerana lukisan perempuan gemuk. Beliau ke New Zealand, Sweden mengikuti pameran yang dijemput oleh kerajaan mereka. 

Beliau bercadang untuk jelajah serata Eropah tapi tak jadi apabila abangnya sakit. Beliau sempat balik ke Malaysia menemui abangnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Saya bangga dengan pencapaian Pak Haris yang terkenal di seluruh dunia. Lukisannya dibeli oleh pemilik hotel dan orang asing kerana menghargai seni. Kebiasaannya beliau menjual lukisan dengan harga RM12,000.


Perempuan Gemuk - trademark lukisan Haris Ribut


Hasil lukisannya menyelamatkan rumahnya dari dilelong. Public Bank hampir melelong rumahnya kerana lawyer di Public Bank kata Pak Haris tidak berupaya untuk bayar balik pinjamannya. Hakim memarahi lawyer tersebut kerana menganggap Pak Haris sebagai orang kurang upaya. Hakim memberi arahan agar Pak Haris membayar RM250 sebulan, tapi hasil jualan lukisannya menyebabkan dia membayar RM3,000 sebulan. Dalam masa 3 tahun Pak Haris berjaya menyelamatkan rumahnya dan kini rumahnya telah habis dibayar.

Walaupun Pak Haris tak pandai memandu kereta, tapi dia bangga dapat ke sana sini bila ada pameran.

30 tahun berpisah sejak 1992 memang masa yang lama, tapi pertemuan petang tadi kembali terjalin persahabatan yang hilang.


Bersama Pak Haris. Beliau kelihatan masih sihat walaupun sudah berusia 71 tahun.


Kami mengimbas kembali kenangan sewaktu dia datang ke rumah saya di Kota Kinabalu pada tahun 1990 yang mana beliau berani meninjau suasana orang Suluk hidup di Pulau Gaya.

Kawan kami Khusairi Talib (Arwah Dato) memarahi saya kerana melepaskan Pak Haris pergi seorang diri ke Pulau Gaya.

Itulah kenangan kami semasa beliau bercuti di Kota Kinabalu selama satu minggu.


Selamat Maju Jaya, Pak Haris.


Kuala Lumpur
Jumaat, 26 Ogos 2022