Isnin, Julai 01, 2019

SATU BAHAGIAN BERSATU PERAK ADA 10 CAWANGAN

PASIR SALAK, 29 Jun (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak telah mewujudkan sekurang-kurangnya 10 cawangan di setiap bahagian di negeri ini sebagaimana seruan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Bersatu negeri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kesemua bahagian di Perak telah memenuhi arahan tersebut malah terdapat beberapa bahagian mempunyai puluhan cawangan.

"Saya menyahut baik apa yang diarahkan oleh Presiden parti...di Perak kita telah memulakan usaha tersebut dan kesemua bahagian telah memenuhi arahan berkenaan.

"Alhamdulillah sejak kita menjadi kerajaan begitu ramai orang Melayu mendekati dan menjadi anggota Bersatu dan sehingga hari ini saya masih menerima permohonan kumpulan-kumpulan yang ingin buka cawangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kem Jati Diri Perintah Khidmat Masyarakat Zon Utara (pesalah juvana dan belia bawah 21 tahun) di Dewan Bankuet Institut Kepimpinan dan Pembangunan Perak, Universiti Teknologi Mara cawangan Kampung Gajah di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyeru agar pucuk pimpinan setiap bahagian perlu mewujudkan cawangan agar anggota parti itu dapat terlibat secara aktif.

Mengenai program hari ini, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata negeri itu bersedia menjadi tuan rumah dan menjadikan kem jati diri itu sebagai lokasi acara tahunan.

"Kerana saya kira ini program yang penting untuk memperbaiki anak-anak muda kita yang pernah lakukan kesilapan kecil," katanya.

Kem Jati Diri Perintah Khidmat Masyarakat Zon Utara yang dijalankan selama tiga hari sejak Khamis melibatkan 100 pesalah juvana dan belia bawah 21 tahun dari enam negeri termasuk Perak, Kedah, Kelantan dan Selangor.

-- BERNAMA