Ahad, Julai 28, 2019

ORANG TANAH MERAH BERNIAGA MINYAK WANGI DI MEKAH

MAKKAH, 28 Julai (Bernama) -- Mengenali wangian kasturi daripada hadis Rasulullah SAW, penulis mengambil peluang mencari dan mengenali haruman yang dikenali sebagai ‘wangian dari syurga' apabila berada di Tanah Suci ini.

Menurut peniaga Muhammad Abdul Rahman, 43, yang mempunyai kiosk minyak wangi dan aksesori di Abraj Janadriyah di sini, sebenarnya kasturi bukan hanya satu jenis wangian sahaja.

Beliau yang berketurunan Melayu dari Tanah Merah, Kelantan dan mampu berbahasa Malaysia dengan baik berkata tiada jumlah jenis wangian kasturi yang diketahui kerana peniaga serta pembuat wangian itu masing-masing mempunyai campuran wangian kasturi yang tersendiri.

"Kasturi ini bahan asasnya kelenjar daripada rusa yang telah dikeringkan, kemudian dicampur dengan pelbagai jenis bahan lain untuk menjadikan wangian kasturi seperti kasturi zaffran yang dihasilkan daripada campuran bunga zaffran.

"Bagaimanapun pada masa ini, saya rasa ramai peniaga mula beralih kepada kasturi yang dihasilkan daripada bahan tumbuhan seperti bunga-bungaan kerana ada jenis rusa ini telah menjadi spesies terancam," katanya yang telah berniaga selama 10 tahun di Abraj Janadriyah kepada Bernama.

Muhammad meminta penulis mencuba 10 jenis wangian kasturi dijualnya dan turut menunjukkan cara untuk memastikan wangian itu 'sebati' dengan bau badan pemakainya seterusnya memberikan kesan bau maksima dengan menggosoknya ke beberapa bahagian nadi utama antaranya di lengan serta leher.

Setelah mencubanya penulis mendapati wangian kasturi zaffran berwarna jingga dan kasturi hitam mempunyai bau yang sesuai bagi lelaki, manakala kasturi matahari berwarna kuning dan kasturi ros berwarna merah jambu mempunyai bau manis buahan sesuai untuk wanita.

Kasturi putih berwarna putih jernih yang mempunyai bau halus seperti vanila dan kasturi nabi berwarna putih susu seakan-akan bau minyak wangi popular CK One, menjadi pilihan penulis untuk dibeli.

Penulis sempat bertanya kepada Muhammad yang dilahirkan di sini, tentang asal usul keluarganya, beliau berkata datuknya berasal dari Tanah Merah, Kelantan dan datang mencari rezeki ke Makkah dengan menaiki kapal laut sekitar tahun 1950-an.

"Isteri saya orang Batu Pahat, Johor dan alhamdulillah saya dikurniakan empat anak. Ada juga pulang ke Malaysia melawat keluarga di Kelantan dan Johor. Walaupun saya lahir di sini, tetapi cinta saya kepada Malaysia amat mendalam.

"Di Abraj Janadriyah memang ramai pelanggan saya orang Malaysia dan selain boleh berbahasa Malaysia untuk menjual barangan, saya boleh membantu jemaah haji Malaysia terutama menerangkan tentang budaya masyarakat di sini, ini suatu ibadah untuk saya," katanya.

-- BERNAMA