Ahad, Julai 14, 2019

MANGSA ROGOL EXCO DITEMPATKAN DI RUMAH PERLINDUNGAN

SERDANG, 13 Julai (Bernama) -- Pembantu rumah yang didakwa dirogol majikannya yang merupakan seorang ahli Exco di Perak, kini diletakkan di bawah pemeliharaan dan perlindungan sepatutnya, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Tidak boleh katakan dia (pembantu rumah) tidak terbela, kerana bila sahaja dia membuat laporan polis, terus polis mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum 'Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru' sempena Sambutan Hari Ibu Bapa peringkat Kebangsaan 2019 di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dilapor berkata Exco berkenaan yang ditahan atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

Beliau berkata, Exco berkenaan turut menjalani pemeriksaan doktor bagi tujuan siasatan.

Pada 8 Julai, polis Perak menerima satu laporan daripada seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun, mendakwa dia dirogol oleh majikannya yang juga seorang Exco kerajaan negeri Perak di rumahnya di Meru, Ipoh.

Media hari ini melaporkan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memantau rapi perkembangan dakwaan kes rogol melibatkan warganegaranya.

Pegawai polis Kedutaan Indonesia, Atase Chaidir Zahari dilapor berkata pengadu yang berusia 23 tahun itu kini ditempatkan di rumah perlindungan, selepas berurusan dengan polis negeri Perak tempat laporan polis pembantu rumah itu dibuat.

Sementara itu, ketika mengulas laporan muka hadapan sebuah akhbar hari ini, mengenai warga asing menjadikan gadis Orang Asli sebagai isteri semata-mata untuk dijadikan penama dalam usaha memohon lesen niaga, Dr Wan Azizah berkata ia merupakan suatu perkara yang memerlukan siasatan lanjut.

Beliau menarik perhatian bahawa perkahwinan antara Orang Asli dengan sesiapa pun adalah di bawah pengurusan Tok Batin, dan kalau bukan Islam ia melibatkan 'customary rights'.

"Kita tidak mahu sesiapa pun wanita-wanita kita, walapun bukan Orang Asli dieksploitasikan," katanya.

Akhbar tersebut melaporkan pembukaan kawasan pertanian komersial khususnya sayur-sayuran yang hampir dengan penempatan Orang Asli di negara ini, menjadikan gadis kaum minoriti itu sasaran manipulasi warga asing.

Ia melaporkan warga asing menjadikan gadis Orang Asli sebagai isteri, semata-mata untuk dijadikan penama dalam usaha memohon lesen niaga atau bantuan kerajaan yang dikhususkan kepada kaum berkenaan.

-- BERNAMA