Jumaat, Julai 12, 2019

JUWAIRIYA NAFI BERADA DI BILIK HOTEL DENGAN MB

SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyatakan dakwaan yang mengaitkannya dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari adalah fitnah.

Beliau menegaskan dirinya tidak berada di lokasi dan tarikh seperti dinyatakan dalam dakwaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi satu akaun laman sosial sejak Selasa lepas.

Dakwaan itu dilaporkan timbul berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.

Tambah Juwairiya, pihaknya juga telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai dakwaan tersebut yang disifatkannya boleh mencemarkan imej dan kredibilitinya sebagai ADUN serta pentadbiran kerajaan Selangor.

“Saya telah berbincang dengan pihak peguam untuk tindakan undang-undang. Pihak kami akan memantau kes ini sepenuhnya untuk menentukan langkah selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Amirudin dilapor menafikan dakwaan yang dikaitkan dengannya itu malah mempersoal mengapa beliau menjadi sasaran serta menegaskan dirinya tidak pernah melakukan perkara di luar batasan.



-- BERNAMA