Khamis, April 11, 2019

DATARAN RANTAU RIUH DENGAN AJAKAN BALIK MENGUNDI

SEREMBAN, 10 April (Bernama) — Pekan Rantau di sini hari ini ‘riuh’ apabila lebih 200 anggota jentera Pakatan Harapan berhimpun mengajak pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau keluar menunaikan tanggungjawab mereka, Sabtu ini.

“Moh balik Rantau”, “Vote for Hope” dan “Vote for Rantau” antara ungkapan yang tertera pada plakad Himpunan Flashmob Harapan “Moh balik mengundi N27 Rantau” yang diadakan di sekitar Dataran Rantau bermula jam 5.30 hingga 7 petang.

Sepanjang acara itu berlangsung, terdapat kenderaan membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Anggota Jawatankuasa Penerangan Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata ‘flashmob’ itu diadakan bertujuan mengajak seluruh pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya pengundi awal.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, bekas menteri besar Negeri Sembilan, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu.

Mahkamah Pilihan Raya itu mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

— BERNAMA