Sabtu, Mac 09, 2019

PAS FAHAM KENAPA DAP RASA TERANCAM



KUALA TERENGGANU 9 Mac - Pas memahami mengapa DAP yang bernafsu besar untuk menguasai politik negara berasa terancam dengan penyatuan ummah antara Pas dan UMNO.


Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas negeri, Yahaya Ali berkata, kerjasama rasmi di antara kedua-dua parti Melayu itu secara tidak langsung akan memperkukuhkan lagi kedudukan Pas-UMNO sekali gus menggerunkan DAP terutama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.


Justeru, tidak hairanlah apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berani mengeluarkan kenyataan celupar dengan menyifatkan penyatuan tersebut sebagai satu 'pengisytiharan perang' ke atas masyarakat bukan Melayu.

"Jika dibuat analisa berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, campuran undi Barisan Nasional (BN) dan Pas akan membolehkan lebih banyak kerusi dimenangi oleh orang Melayu namun kerana berlakunya pecah undi, perkara tersebut tidak berlaku.

"Jadi kita boleh faham mengapa setengah pihak terutamanya DAP yang mempunyai nafsu besar untuk menguasai politik Malaysia merasa terancam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang yang dirasmikan Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri, Satiful Bahri Mamat.

Yahaya yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, sebagai menteri kanan kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Guan Eng tidak sepatutnya gerun dan dengki terhadap Pas-UMNO sebaliknya, berjiwa besar dengan apa jua kesepakatan blok pembangkang.