Khamis, Mac 07, 2019

DAPATKAH GABUNGAN UMNO-PAS ULANGI KEJAYAAN DI RANTAU PADA 13 APRIL?

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan diadakan pada 13 April ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata hari penamaan calon PRK itu pula ditetapkan pada 30 Mac, manakala hari mengundi awal pada 9 April.

"Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 12 April 2019," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai urusan PRK tersebut, di sini hari ini.

Azhar berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK itu adalah Daftar Pemilih Induk 2018 yang dikemas kini sehingga 25 Feb lepas yang akan mula dijual 14 Mac ini.

Katanya daftar pemilih itu mengandungi 20,926 orang pemilih berdaftar, terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat orang pengundi tidak hadir luar negara.

Azhar berkata SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRK DUN berkenaan.

Bagi menjalankan proses pilihan raya kecil ini, katanya, SPR bersetuju melantik Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus sebagai pegawai pengurus pilihan raya, serta 515 petugas pilihan raya.

Beliau berkata SPR akan menggunakan Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Katanya, terdapat sebanyak 16 buah pusat mengundi merangkumi 55 saluran dengan 11 daripadanya saluran baharu yang ditambah untuk kemudahan mengundi pada kali ini.

"PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.8 juta," katanya.

Seperti mana yang dilaksanakan pada PRK Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih sebelum ini, Azhar berkata SPR akan turut menyiarkan proses PRK DUN Rantau secara langsung di laman Facebook SPR, antaranya keputusan tidak rasmi.

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) dan DUN Semenyih Sabtu lepas.

Azhar berkata kesemua tujuh PRK menelan kos sebanyak RM15.348 juta.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

-- BERNAMA