Selasa, Disember 18, 2018

MUHAMMAD ADIB: PERGINYA WIRA NEGARA

ALOR SETAR, 18 Dis ( Bernama) -- “Muhammad Adib perlu dikenang sebagai wira negara”.

Itu pandangan Kasim Md Isa, bapa saudara anggota Bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, ketika ditemui di rumah ibu bapa Allahyarham di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah di sini, hari ini.

Kasim, 61, menjelaskan, anggota keluarga sangat kecewa dengan kejadian yang menimpa Muhammad Adib kerana dia dibelasah ketika menjalankan tugas untuk memadamkan kebakaran di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, dalam kejadian rusuhan pada 27 Nov lalu.

"Kami reda dengan pemergian Alalhyarham yang kami anggap wira kami dan wira negara. Saya harap pihak polis menggiatkan lagi siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Berikutan kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu, majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 22 Dis ini dibatalkan, kata Kasim.

"Dia sempat balik rumah bercuti lima hari membuat persiapan kenduri sebelum kembali bertugas semula. Hari pertama balik bertugas, dia dibelasah… kami sedih dengan kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung dan saudara-mara memenuhi pekarangan rumah anggota keluarga anggota bomba itu sejak 7 pagi tadi.

Muhammad Adib yang parah setelah dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Selangor pada 27 Nov lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada pukul 9.41 malam tadi.

Jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah di sini, selepas solat Zuhur.

-- BERNAMA