Jumaat, Disember 14, 2018

BERSATU BELUM BUAT KEPUTUSAN UNTUK KUTIP "SAMPAH" SABAH

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan muktamad sama ada mahu menerima atau menolak bekas pemimpin UMNO Sabah yang keluar parti semalam.

Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Arif berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan parti prokerajaan Pakatan Harapan (PH) di Sabah sebelum mengumumkan sebarang keputusan.

“Kita bagi sedikit waktu untuk pucuk pimpinan membuat keputusan, ada lagi beberapa fasa yang perlu kita lihat, kita akan maklum sejurus keputusan dibuat dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam, hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan UMNO negeri Sabah termasuk pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.

Semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.

Ditanya mengenai pandangan beberapa pemimpin PH yang tidak bersetuju dengan langkah mengambil bekas pemimpin UMNO ke dalam Bersatu, Rais berkata beliau menghormati pandangan tersebut.

“PH raikan diversiti dalam memberikan pandangan, ini demokrasi. Kami raikan perbezaan ini, akhirnya sebarang keputusan yang kita ambil adalah bagi menguatkan lagi PH,” katanya.

-- BERNAMA