Sabtu, November 03, 2018

PERKASA EKONOMI DIGITAL PACU PERSIAPAN NEGARA MENUJU INDUSTRI 4.0

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2019 untuk memaksimumkan potensi kuasa ekonomi baharu dan digital dilihat akan merancakkan persiapan negara bagi menghadapi Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Dr. Wan Azman Saini Wan Ngah yang dihubungi Bernama hari ini berkata usaha kerajaan memperkasa bidang itu bakal membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi negara khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Ekonomi digital adalah trend terkini di peringkat global sejajar dengan peralihan kepada Industri 4.0, maka penerokaan potensi bidang itu dengan teknologi baharu secara langsung akan meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.

"Bidang ini juga sebenarnya amat membantu PKS yang ketika ini kebanyakannya masih menggunakan kaedah yang konvensional dan agak ketinggalan," katanya.

Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan menyenaraikan beberapa inisiatif bagi memperkasa ekonomi baharu dan digital di bawah fokus ketiga iaitu Memupuk Budaya Negara Usahawan.

Antara inisiatif itu termasuklah menyediakan geran RM2 billion menerusi Dana Pelaburan Berkaitan Kerajaan, menubuhkan Dana Pelaburan Bersama (English: Co-Investment Fund) berjumlah RM 50 juta, melaksanakan pembanguanan infrastruktur jalur lebar menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM 1 bilion dan meneruskan Insentif Penerbitan Filem Malaysia (MIFI)dengan nilai RM30 juta bagi memacu industri perfileman tempatan