Khamis, November 08, 2018

MAHATHIR SEKOLAHKAN MENTERI DAN TIMBALAN MENTERI PH MENGENAI ASAL USUL KITA

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan satu pertemuan tertutup dengan menteri dan timbalan menteri Melayu di sini bagi mengingatkan mereka tentang sejarah negara.

Ditanya mengenai pertemuan kira-kira dua jam di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini itu, Dr Mahathir berkata : “Saya kena memberitahu sejarah negara kita supaya semua faham asal usul kita. Dengan itu, kita tidak akan lakukan perkara-perkara tidak baik yang mungkin pernah berlaku.”

Antara yang hadir pada pertemuan itu termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Difahamkan pertemuan itu turut membincangkan Belanjawan 2019 dan isu berkaitan agenda Bumiputera.

Turut ditanya isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Poh Kong Gold Note of Hope di sini, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu melakukan pelbagai pertimbangan sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Yang itu kita kena timbang kerana ada peruntukan-peruntukan yang tidak sesuai dengan negara kita,” katanya.

Ditanya sama ada Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 November lepas akan disemak semula, Dr Mahathir berkata kerajaan akan membentangkan belanjawan tambahan selepas ia dilaksanakan nanti.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa beberapa pakar ekonomi yang mencadangkan Belanjawan 2019 disemak semula untuk membantu masyarakat luar bandar.

-- BERNAMA