Isnin, November 19, 2018
BELUM TENTU PH MENANG PRU 15
SHAH ALAM: Nurul Izzah Anwar berkata agenda reformasi dan semangat 'Malaysia Baru' perlu dirasai oleh rakyat jika Pakatan Harapan (PH) mahu kekal sebagai kerajaan selepas PRU ke-15.
Menyampaikan ucapan penggulungan Kongres PKR ke-13, beliau berkata kedua-duanya perlu diterjemahkan dalam erti kata sebenar.
"Apa itu Malaysia Baru? Rakyat masih menanti maknanya...Ia bukan stesen terakhir bagi PKR. Kita harus merumuskan formulanya.
"Jika gagal (berbuat demikian) kita akan menanti hukuman (daripada) rakyat," katanya di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, hari ini.
"Tiada jaminan untuk kita menang dalam PRU ke-15. Relevannya PKR apabila kita relevan dengan suara rakyat," katanya yang juga anggota parlimen Permatang Pauh.
Pada pentas kongres itu juga, Nurul Izzah yang menggelarkan dirinya sebagai "anak reformasi" turut mengulangi pendirian untuk tidak menganggotai kabinet kerajaan PH.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada rombakan kabinet yang mungkin berlaku selepas pemilihan parti itu selesai.
Malah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan kesediaan untuk melakukan rombakan kabinet selepas pemilihan PKR selesai jika ada keperluan.
Pemilihan PKR kali ini menobatkan Anwar Ibrahim sebagai presiden baru yang akan menggantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sementara itu, naib presiden PKR, Tian Chua ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pula mahu perubahan dasar parti itu dilakukan membabitkan soal keanggotaan parti.
Ini kerana katanya PKR menyaksikan peningkatan jumlah keanggotaan yang mendadak selepas PH memenangi PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.
Tian mencadangkan supaya seseorang anggota baru perlu berada dalam parti selama setahun sebelum diberi hak mengundi dalam pemilihan parti.
Untuk melayakkan anggota baru bertanding sebarang jawatan Tian berkata mereka wajar berada bersama PKR selama sekurang-kurangnya dua tahun.