Isnin, November 12, 2018

AZMIN MENDAHULUI RAFIZI KERANA TERDAPAT BERIBU RIBU UNDI RAGU BELUM DIPROSES

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- "Belum menang, tetapi mendahului," itu respons Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Rashid Din mengenai tindakan mengumumkan kemenangan oleh kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Rashid yang dihubungi Bernama berkata proses pengiraan undi bagi pemilihan itu masih belum selesai kerana masih terdapat beribu-ribu undi ragu belum diproses dan keputusan di tiga cabang yang masih ditangguh iaitu Tawau, Pensiangan serta Julau.

"Dia memang 'leading', jadi perkataan 'menang' itu perlu ditukar kepada 'mendahului', proses (kira undi) masih belum selesai, banyak lagi kerja kita (JPP), keputusan muktamad hanya selepas semua undi ragu dibuka (proses)," katanya.

Rashid bagaimanapun tidak memberi perincian mengenai jumlah undi ragu tersebut.

Menurut laman https://www.pemilihankeadilan2018.com setakat ini hanya enam negeri yang telah mempunyai keputusan muktamad iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

Dilaporkan kem Mohamed Azmin mengumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu telah menewaskan bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan memenangi saingan dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.