PUTRAJAYA, 5 Okt (Bernama) – Jabatan Peguam Negara digesa supaya tidak menimbang untuk mendakwa Azman Noor Adam, adik kepada anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, kerana menghina Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri yang bertanggungjawab bagi hal undang-undang Datuk Liew Vui Keong berkata kes itu tidak sepatutnya diteruskan kerana Dr Mahathir sendiri tidak kisah dengan apa jua kenyataan yang dibuat tentang beliau.
“Ini mencerminkan Perdana Menteri kita begitu berjiwa besar. Sebagai pemimpin negara dan menteri kerajaan, kami sering menjadi bahan cemuhan dan kritikan orang ramai.
“Perkara yang perlu diperhatikan ialah sesuatu kenyataan yang dibuat terhadap pemimpin politik janganlah besifat menghasut kerana undang-undang memperuntukan bahawa tindakan boleh diambil terhadap orang yang menabur fitnah. Malah, undang-undang juga memperuntukkan bahawa seseorang yang difitnah, boleh mengambil tindakan dari segi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Liew berkata demikian bagi mengulas penahanan Azman baru-baru ini selepas dia didakwa menyebar gambar yang menghina Dr Mahathir melalui media sosial.