Jumaat, Oktober 19, 2018

DUA DOKTOR BERTEMU JODOH DI GURUN SAHARA

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Dua doktor perubatan angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak menyangka penyertaan mereka dalam misi pengaman PBB di Sahara Barat dekat sempadan Maghribi, Afrika lebih 10 tahun lepas melahirkan bibit cinta yang membawa mereka ke jenjang pelamin.

Siapa sangka misi selama enam bulan pada tahun 2007 di tengah padang pasir itu akhirnya telah mempertemukan jodoh Kol Dr Mohammed Munir Osman, 39, dari Segamat, Johor dan Kol Dr Siti Zulaili Zulkepli, 38, dari Sungai Petani, Kedah.

“Sebelum misi di Sahara, kami tidak lagi mengenali antara satu sama lain, namun kami telah sama-sama ditugaskan dalam misi pengaman PBB di Sahara di bahagian perubatan dan di situlah kami mula kenal.

“Banyak pengalaman yang kami tempuh di Sahara khasnya dalam berhadapan masalah komunikasi kerana tidak semua anggota tentera dari beberapa negara di bawah PBB yang fasih menggunakan bahasa Inggeris,” kata Dr Mohammed Munir kepada pemberita di sini.

Dr Mohammed Munir dan Dr Siti Zulaili merupakan pasangan suami isteri tunggal daripada 66 orang yang menerima kenaikan pangkat pegawai kanan tentera darat pada satu majlis yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi di sini, semalam.

Beliau berkata ketika menyertai misi itu, mereka hanya banyak memberikan rawatan kecederaan ringan kepada anggota dan tidak seperti sebelumnya yang mana ramai anggota pengaman cedera parah akibat periuk api.

Ditanya kenapa memilih perkhidmatan dalam TDM, Dr Mohammed Munir berkata beliau gemarkan sesuatu yang mencabar dan lasak selain suka untuk berkhidmat di kawasan-kawasan luar daripada rutin seorang doktor biasa.

“Bertugas sebagai doktor dalam TDM, saya mendapat banyak peluang bertugas di lapangan seperti menyertai misi pengaman di Timor-Leste, Sahara selain yang terbaru di Cox’s Bazar, Bangladesh dari Februari hingga Mei lalu,” katanya.

Pengalaman di Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar merupakan antara yang amat berharga baginya apabila merawat kira-kira 100 pesakit sehari dan berjaya membuat kira-kira 200 pembedahan dalam tempoh sembilan bulan.

“Hospital medan kita di Cox’s Bazar merupakan antara yang terbaik dan menjadi rujukan kepada pasukan perubatan lain yang turut berada di sana seperti yang dimiliki Turki dan The International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC),” katanya.

Dr Mohammed Munir yang merupakan lulusan The Royal College of Surgeons di Ireland kini merupakan doktor pakar ortopedik di Hospital Angkatan Tentera, Lumut, Perak.

Dalam pada itu, Dr Siti Zulaili berkata selepas mengenali dengan lebih dekat Dr Mohammed Munir, mereka melangsungkan perkahwinan pada tahun 2008 sekembalinya daripada misi pengaman di Gurun Sahara.

“Walaupun kami bertugas di tempat yang sama dan bidang yang sama, namun kami tetap profesional dan membahagi masa antara keluarga dan tugas,” katanya..